GOTABAYA Rajapaksa. FOTO fail Reuters
GOTABAYA Rajapaksa. FOTO fail Reuters
AFP

Colombo: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa berjanji meletak jawatan pada Rabu dan membuka jalan bagi peralihan kuasa secara aman selepas meninggalkan kediaman rasminya di sini sebelum puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu kediamannya.

Sebagai presiden, Rajapaksa mempunyai imuniti daripada penahanan dan beliau dipercayai mahu ke luar negara sebelum berundur bagi mengelak kemungkinan ditahan.

Sumber imigresen memberitahu Rajapaksa, isteri dan pengawal peribadinya adalah antara empat penumpang di dalam pesawat tentera Antonov-32 yang berlepas dari lapangan terbang antarabangsa utama Sri Lanka.

Setibanya di Maldives, mereka dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan dengan diiringi polis, kata seorang pegawai lapangan terbang di Male.

Pemergian pemimpin berusia 73 tahun itu yang pernah dikenali sebagai The Terminator dihalang selama lebih 24 jam dalam pergaduhan mengaibkan dengan kakitangan imigresen di Colombo.

Beliau ingin terbang ke Dubai dengan penerbangan komersial, namun kakitangan lapangan terbang berkenaan menarik diri daripada tugas di perkhidmatan VIP dan menegaskan semua penumpang perlu melalui kaunter awam.

Presiden itu enggan melalui saluran biasa kerana bimbang reaksi orang ramai, kata seorang pegawai keselamatan, dan akibatnya, terlepas empat penerbangan pada Isnin yang mungkin membawa mereka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Seorang pegawai keselamatan memberitahu, pelepasan penerbangan untuk tentera mendarat di negara jiran terdekat India, tidak diperolehi serta-merta dan kumpulan itu menuju ke pangkalan tentera laut dengan tujuan untuk melarikan diri melalui laut pada Selasa.

Adik bongsu Rajapaksa, Basil, yang meletak jawatan pada April sebagai menteri kewangan, terlepas penerbangan Emirates ke Dubai pada Selasa selepas perselisihan faham dengan kakitangan lapangan terbang.

Basil yang memegang kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) selain Sri Lanka cuba menggunakan perkhidmatan concierge berbayar untuk pengembara perniagaan tetapi kakitangan lapangan terbang dan imigresen berkata mereka menarik diri daripada bertugas di perkhidmatan laluan pantas.

"Terdapat beberapa penumpang lain yang membantah Basil menaiki penerbangan mereka.

"Ia adalah keadaan yang tegang, jadi dia tergesa-gesa meninggalkan lapangan terbang," kata seorang pegawai lapangan terbang kepada AFP.

Menurut sumber diplomatik, Basil terpaksa mendapatkan pasport baharu AS selepas meninggalkannya di istana presiden apabila Rajapaksa berundur tergesa-gesa untuk mengelak perusuh pada Sabtu.

Sumber rasmi memaklumkan bagasi yang penuh dengan dokumen juga ditinggalkan di rumah besar itu bersama-sama dengan wang tunai 17.85 juta rupee (kira-kira RM995,775), kini dalam jagaan mahkamah Colombo.

Tiada maklumat rasmi daripada pejabat presiden mengenai keberadaannya, namun beliau kekal sebagai ketua komander angkatan tentera dengan sumber ketenteraan yang boleh digunakan.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 10:07 AM