AFP

Pyongyang: Kim Jong Un secara peribadi menyelia ujian penembakan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terbesar Korea Utara untuk memastikan negaranya bersedia berdepan 'konfrontasi berterusan' dengan Amerika Syarikat (AS).

Pelancaran Khamis itu adalah kali pertama apabila Pyongyang menembak peluru berpandu paling berkuasa, pada jarak penuh sejak 2017.

Peluru berpandu itu 'mengembara' lebih tinggi dan jauh daripada mana-mana ICBM sebelum ini yang diuji oleh negara bersenjata nuklear itu, termasuk satu yang direka untuk menyerang mana-mana lokasi di AS.

Pelancaran ICBM jenis baharu itu dijalankan di bawah penyeliaan penuh Jong Un, lapor KCNA.

Gambar media kerajaan menunjukkan pemimpin itu memakai jaket kulit hitam dan cermin mata hitam gelap berjalan melintasi landasan di depan peluru berpandu besar, dan bersorak meraikan pelancaran ujian itu.

ICBM baharu "akan membuatkan seluruh dunia sedar dengan jelas mengenai kuasa angkatan bersenjata strategik kita sekali lagi," kata Jong Un, menurut KCNA, sambil menambah negara itu kini "bersedia sepenuhnya untuk konfrontasi yang sudah lama wujud dengan imperialis AS".

Jong Un dilihat menanggalkan cermin mata hitamnya sebelum mengarahkan pelancaran peluru berpandu diteruskan dalam video media kerajaan.

Dikenali sebagai Hwasong-17, ICBM gergasi itu mula diperkenalkan pada Oktober 2020 dan digelar sebagai "peluru berpandu raksasa" oleh penganalisis.

PELANCARAN ICBM, Hwasong-17. FOTO KCNA/ Reuters
PELANCARAN ICBM, Hwasong-17. FOTO KCNA/ Reuters

Ia sebelum ini tidak pernah berjaya selepas diuji dan pelancaran itu mencetuskan kemarahan serta-merta daripada jiran Pyongyang dan Amerika Syarikat.

"Peluru berpandu itu yang dilancarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang bergerak sehingga ketinggian maksimum 6,248.5 kilometer (km) dan terbang sejauh 1,090 km untuk 4,052 saat sebelum tepat mengenai kawasan pratetap di perairan terbuka" di Laut Jepun, kata KCNA.

Tentera Korea Selatan menganggarkan jarak pelancaran Khamis sebagai 6,200 kilometer (3,900 batu), lebih jauh daripada ICBM terakhir, Hwasong-15, yang diuji Korea Utara pada November 2017.

Peluru berpandu itu mendarat di zon ekonomi eksklusif Jepun, mencetuskan kemarahan dari Tokyo tetapi KCNA berkata, ujian itu dijalankan "dalam mod pelancaran menegak" untuk mengurangkan kebimbangan keselamatan jiran.

Berikutan ujian Khamis, Washington mengenakan sekatan baharu ke atas entiti dan orang di Rusia dan Korea Utara yang dituduh "memindahkan item sensitif ke program peluru berpandu Korea Utara."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 10:18 AM