ORANG ramai menyaksikan berita mengenai pelancaran peluru berpandu Korea Utara yang disiarkan stesen televisyen Korea Selatan. FOTO EPA
ORANG ramai menyaksikan berita mengenai pelancaran peluru berpandu Korea Utara yang disiarkan stesen televisyen Korea Selatan. FOTO EPA
AP

Seoul: Korea Utara melepaskan sekurang-kurangnya enam peluru berpandu ke laut, termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), yang mencetuskan amaran pemindahan dan menghentikan kereta api di utara Jepun.

Ujian senjata bertubi-tubi, baru-baru ini, meningkatkan ketegangan di rantau itu.

Ujian ICBM diikuti dengan pelancaran dua peluru berpandu balistik jarak dekat pada waktu pagi, mendapat kecaman oleh jiran Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) yang bertindak balas dengan melanjutkan latihan tentera udara bersama yang berterusan dengan Korea Selatan.

Tentera Korea Selatan dan Jepun berkata, Korea Utara kemudiannya melepaskan tiga lagi peluru berpandu jarak dekat ke perairan di luar pantai timurnya.

Pelancaran itu dibuat sejam selepas seorang pegawai kanan tentera Korea Utara mengeluarkan kenyataan yang mengancam tindakan balas terhadap pelanjutan latihan AS-Korea Selatan.

Menteri Pertahanan Jepun Yasukazu Hamada berkata, peluru berpandu itu bergerak sejauh 500 kilometer.

Tentera Korea Selatan berkata, Korea Utara mengikuti pelancaran itu dengan melepaskan 80 das tembakan artileri ke bahagian timur zon penampan maritim.

Rabu lalu, Korea Utara menembak lebih 20 peluru berpandu, paling banyak ia dilancarkan dalam sehari.

Selepas sudah menetapkan rekod tahunan dengan berpuluh-puluh pelancaran balistik pada 2022, Korea Utara terus melakukan aktiviti ujiannya, sejak akhir September.

Ia termasuk apa yang disifatkannya sebagai simulasi serangan nuklear simulasi ke atas sasaran Korea Selatan dan AS.

Korea Utara mendakwa, ujiannya bertujuan sebagai amaran terhadap latihan ketenteraan AS dengan sekutu Korea Selatan dan Jepun, yang digambarkan sebagai latihan untuk kemungkinan pencerobohan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 10:33 AM