Penyokong parti pemerintah Sri Lanka menyerang peserta protes antikerajaan di Colombo. - FOTO Reuters
Penyokong parti pemerintah Sri Lanka menyerang peserta protes antikerajaan di Colombo. - FOTO Reuters
AFP

Colombo: Polis Sri Lanka melaksanakan perintah berkurung selepas berlakunya pertembungan antara penyokong kumpulan politik.

Sekurang-kurangnya 20 individu cedera dalam keganasan di tengah Colombo, menurut pegawai.

Penyokong setia presiden Gotabaya Rajapaksa dilengkapi senjata kayu menyerang peserta protes tidak bersenjata yang telah berkhemah di luar pejabat Rajapaksa sejak 9 April lalu, kata wartawan AFP.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penyokong kerajaan yang melepasi garisan polis untuk memusnahkan khemah dan struktur lain dibina peserta protes antikerajaan.

Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa, yang juga adik presiden, menggesa 'orang awam untuk terus bersabar dan sentiasa ingat bahawa keganasan akan mengundang keganasan'.

"Krisis ekonomi yang kita hadapi ini memerlukan penyelesaian ekonomi di mana pentadbiran sedang berusaha untuk selesaikan," katanya melalui Twitter.

Anggota polis membawa keluar individu yang cedera. - FOTO AFP
Anggota polis membawa keluar individu yang cedera. - FOTO AFP

Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan darurat yang membolehkan tentera mengambil alih kuasa menahan orang awam selepas kesatuan perdagangan melaksanakan tindakan senyap secara maya bagi mendesak peletakan jawatan Rajapaksa.

Kementerian pertahanan dalam kenyataan pada Ahad berkata, peserta demonstrasi antikerajaan bersikap 'provokatif dan berbahaya' serta mengganggu perkhidmatan penting.

Pergaduhan antara penyokong presiden Rajapaksa dan peserta antikerajaan. - FOTO AFP
Pergaduhan antara penyokong presiden Rajapaksa dan peserta antikerajaan. - FOTO AFP

Kesatuan berkata, ia akan menjalankan protes harian bermula hari ini untuk mendesak kerajaan menarik balik perintah darurat.

Ketua kesatuan, Ravi Kumudesh berkata, pihaknya

akan menggunakan kakitangan negeri dan swasta untuk berkumpul di parlimen apabila ia dibuka pada 17 Mei nanti.

"Apa yang kami mahu adalah, presiden dan keluarganya pergi (dari pentadbiran)," katanya dalam kenyataan.

Presiden Rajapaksa tidak kelihatan di khalayak ramai sejak puluhan ribu cuba menyerbu kediaman peribadinya di Colombo pada 31 Mac.

Sumber rasmi berkata, presiden mungkin meminta abangnya Mahinda berundur dalam usaha membuka jalan bagi kerajaan perpaduan untuk mengemudi Sri Lanka melalui krisis.

Tetapi parti pembangkang terbesar di negara itu sudah berkata ia tidak akan menyertai mana-mana kerajaan yang diterajui oleh puak Rajapaksa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 6:00 PM