RANIL Wickremesinghe
RANIL Wickremesinghe
Syarifah Dayana Syed Bakri

Di saat negara kita menyambut Aidilfitri dalam keadaan meriah selepas 'tertangguh' selama dua tahun, Sri Lanka yang sebahagian besar penduduknya beragama Buddha menyambut Hari Wesak dalam keadaan agak suram.

Minggu sebelum perayaan Wesak, kerajaan Sri Lanka melaksanakan perintah berkurung selepas pertempuran dengan kumpulan antikerajaan mengorbankan sembilan orang.

Lebih sebulan protes yang didominasi secara aman terhadap kerajaan bertukar ganas minggu ini selepas penyokong bekas Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa menyerbu kem protes antikerajaan di Colombo, membakar khemah dan bertempur dengan penunjuk perasaan.

Pertembungan awal dan tindak balas terhadap tokoh kerajaan juga menyebabkan lebih 300 cedera.

Perintah berkurung 24 jam yang dikenakan pada Isnin telah ditarik balik selama beberapa jam pada Khamis dan Jumaat untuk membolehkan pembelian bekalan penting dan persediaan menyambut Hari Wesak.

Bagaimanapun, perayaan berkenaan disambut dalam keadaan serba sederhana dengan tunjuk perasaan terus berlangsung mendesak kerajaan mengambil tindakan pantas menangani masalah ekonomi.

Antara masalah yang perlu dihadapi rakyat Sri Lanka ketika ini adalah kekurangan bekalan elektrik dan petrol yang menyebabkan mereka terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan keperluan berkenaan.

Daily Mirror Sri Lanka melaporkan, tinjauan yang dilakukan di stesen minyak menyaksikan kekurangan bahan api menyebabkan rakyat terseksa.

Ketika wartawannya tiba di stesen berkenaan sekitar jam 4.30 petang, seorang pengguna Chamila Fernando, ibu kepada dua anak, telah beratur sejak jam 6.30 pagi.

Katanya, dia terpaksa memohon cuti semata-mata untuk beratur panjang bagi mengisi minyak kenderaannya dan tidak dapat pergi ke tandas kerana enggan meninggalkan barisan itu.

Menurutnya, dia takut memikirkan masa depan anak-anaknya sekiranya keadaan seperti ini berlarutan.

Bagi Sameera Siriwardana, seorang pengurus jualan sebuah syarikat swasta terkenal di Colombo, mengeluh kerana namanya diletakkan di dalam senarai 'tiada gaji' dan menghabiskan banyak masa mudanya beratur panjang untuk mendapatkan bahan api.

Katanya, dia tidak boleh menggunakan bas untuk ke pejabat kerana tinggal jauh dari jalan besar. Malah, mengambil tuk tuk juga akan menelan kos sekitar Rs350 untuk perjalanan sehala.

Menurutnya, tanpa motosikal, dia akan kehilangan pekerjaan dan terpaksa menghadap barisan panjang untuk mengisi petrol pada motosikalnya.

Ia adalah barisan ketiga yang disertainya pada hari berkenaan kerana dua stesen minyak yang dikunjungi sebelum itu kehabisan bekalan.

Dalam keadaan rakyat terpaksa beratur panjang, tindakan segelintir ahli parlimen memotong barisan mengundang kemarahan ramai.

Ia menyebabkan Ceylon Petroleum Corporation mengeluarkan arahan bagi stesen minyak kendaliannya, Narahenpita untuk memastikan kenderaan ahli parlimen perlu menanti giliran seperti orang awam untuk mengisi petrol.

Walaupun stesen berkenaan dikhususkan untuk kenderaan ahli parlimen, namun orang awam masih boleh mengisi petrol di stesen itu dan tidak ada arahan untuk memberikan layanan istimewa kepada ahli parlimen.

Selain bahan api untuk kenderaan, bekalan makanan asas dan barangan keperluan diri juga semakin meruncing di negara berkenaan.

Disebabkan pendapatan boleh guna setiap keluarga semakin berkurangan, maka barangan penjagaan diri bukan lagi perkara utama.

Ia menyebabkan golongan wanita dan remaja serta kanak-kanak perempuan terpaksa melupakan produk penjagaan diri khususnya berkaitan haid atau kehamilan yang berisiko mengancam kesihatan mereka.

Perdana Menteri baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe mengingatkan rakyatnya supaya bersiap sedia menghadapi kesusahan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua bulan lagi susulan krisis kewangan negara yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, adalah menjadi satu cabaran bagi perbendaharaan mencari AS$1 juta apatah lagi mengumpul AS$5 juta bagi tujuan mengimport gas.

Ketika artikel ini ditulis, Sri Lanka hanya mempunyai bekalan petrol untuk satu hari.

Malah, bekalan ubat penting termasuk membabitkan penyakit jantung serta peralatan pembedahan juga semakin berkurangan.

Ini kerana bayaran kepada pembekal ubat belum dijelaskan selain peralatan perubatan dan makanan untuk pesakit sejak empat bulan lalu juga masih tertunggak.

Wickremesinghe memikul tugas sebagai Perdana Menteri menggantikan Mahinda Rajapaksa yang meletak jawatan pada 9 Mei, namun ada rakyat Sri Lanka yang tidak yakin dengan kepemimpinannya memandangkan beliau adalah sekutu Rajapaksa.

Semoga rakyat Sri Lanka dapat bertahan dalam situasi mencabar ini dan menempuhnya dengan penuh kesabaran.


Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 6:00 AM