PENUNTUT universiti melakukan demonstasi berdekatan bangunan parlimen, menuntut Presiden Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan. FOTO AFP.
PENUNTUT universiti melakukan demonstasi berdekatan bangunan parlimen, menuntut Presiden Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan. FOTO AFP.
AFP

Colombo: Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa mengisytiharkan darurat buat kali kedua dalam tempoh lima minggu, sekali gus memberi kuasa penuh kepada pasukan keselamatan untuk mengawal negara ketika mogok berterusan yang menuntut peletakan jawatannya.

Jurucakap presiden berkata, undang-undang ketat dikenakan untuk "memastikan ketenteraman awam" selepas kedai ditutup dan pengangkutan awam terhenti pada Jumaat, dengan kesatuan sekerja menyalahkan Rajapaksa atas krisis ekonomi yang melanda hingga berlaku kekacauan berminggu-minggu.

Terdahulu pada Jumaat, polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan pelajar yang cuba menyerbu Parlimen bagi menuntut Rajapaksa meletakkan jawatan.

Situasi darurat memberi kuasa kepada pasukan keselamatan untuk menangkap dan menahan individu mendatangkan kekacauan bagi tempoh yang lama tanpa pengawasan kehakiman.

Ia juga membenarkan tentera untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan ketenteraman, selain polis.

"Undang-undang (darurat) ini akan berkuat kuasa tengah malam Jumaat," kata jurucakap Rajapaksa.

Rajapaksa mengumumkan darurat pertama pada 1 April lalu, sehari selepas ribuan penunjuk perasaan cuba menyerbu rumah persendiriannya di ibu negara. Darurat itu luput pada 14 April.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 11:36 AM