Seorang wanita menerima vaksin dos penggalak Pfizer-BioNTech di Jakarta, Indonesia. - FOTO AFP
Seorang wanita menerima vaksin dos penggalak Pfizer-BioNTech di Jakarta, Indonesia. - FOTO AFP
Agensi

London: Suntikan penggalak kedua mengurangkan risiko kematian akibat Covid-19 sebanyak 78 peratus pada warga emas.

Menurut kajian baru dari Israel, yang meluluskan dos kedua pada Januari, penyelidik mendapati hasil selama 40 hari untuk setengah juta orang dewasa berumur 60 hingga 100 tahun daripada pangkalan data sistem Clalit Health Services.

Lebih separuh daripada pesakit ini (58 peratus) telah menerima dos penggalak kedua vaksin Pfizer-BioNTech sekurang-kurangnya empat bulan sebelumnya.

Separuh lagi telah menerima satu dos penggalak sahaja.

Tempoh kajian selama 40 hari itu merangkumi tempoh jangkitan Omicron ketika Israel menjadi antara yang tertinggi di dunia, lapor penyelidik.

Laporan itu mendapati terdapat 232 kematian dalam kalangan pesakit yang tidak menerima dos penggalak kedua dan 92 kematian dalam kalangan mereka yang menerima dos penggalak.

Kadar kematian 78 peratus lebih rendah dalam kalangan kumpulan yang diberi vaksin dua kali adalah lebih rendah daripada kadar kematian yang ditemui dalam kalangan penduduk tua Israel selepas dos pertama (90 peratus), kata penyelidik seperti dilaporkan portal kesihatan McKnights.

Bagaimanpun kajian berkenaan belum mendapat penilaian rakan setara.

Sementara itu, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) memberi bayangan rakyat Britain berkemungkinan memerlukan dos penggalak vaksin Covid-19 dua kali setahun pada masa depan.

Ketua Eksekutif UKHSA, Dr Jenny Harries, berpandangan 'kumpulan tertentu' yang paling berisiko dalam masyarakat masih memerlukan suntikan dos penggalak.

"Britain ketika ini masih berada dalam 'tempoh tidak menentu' meskipun semua sekatan sudah ditarik balik sebulan lalu.

"Pasukan pakar juga tidak dapat meramalkan tempoh varian baharu boleh berlaku dan sejauh mana kesan imuniti vaksin sedia ada terhadapnya," katanya.

Kira-kira lapan juta penduduk termasuk golongan berusia 75 tahun ke atas, penghuni rumah jagaan dan individu lemah imun berumur 12 tahun ke atas kini layak mendapat suntikan dos keempat vaksin Covid-19.

Dilaporkan, dos kelima malah suntikan keenam vaksin mungkin akan dilaksanakan pada musim luruh ini.

Harries yang hadir pada mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), diminta mengulas sama ada dos penggalak akan terus diberikan kepada penduduk setiap enam bulan.

Beliau bagaimanapun enggan menafikan dos penggalak akan terus diberikan selepas suntikan keempat vaksin Covid-19.

"Pandemik belum berakhir, jadi untuk tempoh 18 bulan akan datang atau dua tahun lagi, saya rasa ia akan menjadi tempoh yang tenang," katanya.

Selain itu, Menteri Kesihatan Eropah turut menggesa eksekutif blok itu menyokong suntikan dos keempat vaksin Covid-19 untuk individu berumur lebih 60 tahun.

Ia bertujuan meningkatkan imuniti sekiranya tiada vaksin yang melindungi secara khusus daripada varian Omicron.

Amerika Syarikat (AS) juga meluluskan penggunaan dos penggalak Covid-19 kedua daripada dua vaksin bagi individu berusia 50 tahun ke atas.

Agensi Pentadbiran Makanan Dan Ubat-Ubatan (FDA) berkata, dos keempat itu akan menggunakan vaksin Pfizer dan Moderna serta diberikan sekurang-kurangnya empat bulan selepas dos sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 6:45 PM