ORANG ramai beratur untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di Los Angeles, California. FOTO AFP
ORANG ramai beratur untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di Los Angeles, California. FOTO AFP
AFP

Washington: Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) meluluskan suntikan penggalak Covid-19 jenis Pfizer untuk kanak-kanak seawal 12 tahun dan mengurangkan masa menunggu antara vaksinasi awal dan dos tambahan daripada enam bulan kepada lima bulan untuk semua peringkat umur.

Keputusan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) selepas varian Omicron dikesan mudah berjangkit dan berjuta-juta pelajar sekolah kembali meneruskan sesi pembelajaran selepas cuti.

FDA juga meluluskan dos penggalak vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak kurang daya imun antara umur lima dan 11 tahun termasuk individu yang menerima pemindahan organ.

Agensi itu berkata, ia bergantung khususnya pada data dari Israel, di mana beribu-ribu kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun, menerima dos penggalak.

"Di samping itu, dengan lebih 4.1 juta orang berumur 16 tahun dan lebih tua di Israel menerima suntikan penggalak bermula lima bulan selepas vaksinasi dua dos awal dan tiada kebimbangan baharu (mengenai) keselamatan.

"Membenarkan vaksin penggalak untuk dilakukan pada lima bulan dan bukannya enam bulan mungkin memberikan perlindungan yang lebih baik dan awal untuk individu terhadap varian Omicron yang sangat mudah berjangkit," kata FDA dalam satu kenyataan.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS masih perlu memberikan kelulusan terakhirnya dan keputusan itu dijangka dalam beberapa hari akan datang.

Amerika Syarikat kini mencatatkan purata kira-kira 400,000 kes Covid-19 baharu setiap hari, rekod tertinggi sejak wabak itu bermula dua tahun lalu, menurut data yang dikumpul oleh Universiti Johns Hopkins.

Kemasukan hospital juga meningkat, tetapi tidak pada kadar yang sama dan buat masa ini kekal di bawah paras tertinggi yang dicatatkan setahun lalu.

Kemasukan hospital kanak-kanak yang menghidap Covid-19 juga semakin meningkat, dengan kadar vaksinasi lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak yang lebih muda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 10:08 AM