GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sebanyak 93.4 peratus atau 142 daripada 152 kes kematian disebabkan Covid-19 di Kedah didapati berlaku dalam kalangan individu yang belum menerima suntikan vaksin dos penggalak.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo, berkata kes kematian itu berdasarkan data diperolehi pihaknya bermula 1 Januari lalu hingga Sabtu lalu.

Beliau berkata, daripada 152 kematian berkenaan, sebanyak 41 kes adalah membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

"Jumlah BID di Kedah sangat tinggi. Jumlah penduduk 18 tahun tahun ke atas yang mengambil suntikan vaksin dos penggalak pula masih rendah iaitu 49 peratus sehingga kelmarin.

"Setakat Rabu minggu lalu, sebanyak 57.1 peratus dari kalangan warga 60 tahun ke atas dan 51.6 peratus golongan dewasa dengan komorbiditi belum menerima dos penggalak.

"Pada masa sama 73.3 peratus penerima vaksin Sinovac sudah mengambil dos penggalak di negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Othman berkata, pihaknya berharap individu dewasa terutama berumur 60 tahun ke atas dan penerima vaksin Sinovac serta individu yang mempunyai komorbiditi segera mendapatkan vaksin.

"Mereka yang ada masalah seperti obesiti, darah tinggi, diabetes, sakit jantung, paru-paru dan buah pinggang boleh mendapatkan suntikan penggalak di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada.

"Mereka boleh pilih vaksin sama ada jenis Pfizer atau Sinovac. Bagaimanapun mereka digalak mengambil dos penggalak jenis Pfizer

kerana ia didapati lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, bagi individu yang positif Covid-19 dan berumur 60 tahun ke atas dan memiliki komorbiditi, mereka perlu memantau gejala seperti yang dinasihati dalam MySejahtera.

"Kita harap penduduk yang mempunyai penyakit kronik, sentiasa mendapatkan rawatan yang optimum di hospital atau klinik kesihatan.

"Bagi individu yang bergejala seperti demam, selsema, sakit tekak dan batuk, segera lah melakukan RTK Antigen dan mengamalkan langkah TRIIS atau uji, lapor, asing, maklum dan cari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 11:48 AM