GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Penurunan imuniti selepas penerimaan vaksin dalam tempoh masa tertentu adalah perkara yang lazim berlaku pada kebanyakan penerima vaksin termasuk penerima vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemantauan yang dijalankan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Malaysia menunjukkan penurunan imuniti sebanyak 20 peratus berlaku kepada individu yang sudah mengambil dua dos lengkap manakala bagi penerima vaksin Sinovac berlaku penurunan imuniti sebanyak 40 peratus selepas tiga hingga lima bulan menerima dos kedua.

Menurutnya, pelbagai kajian antaranya Israel, United Kingdom, dan Chile juga mendapati terdapat penurunan tahap 'neutralising antibody' kepada virus Covid-19 selepas tiga hingga enam bulan menerima dos primer lengkap.

"Ini menyebabkan risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 meningkat terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi.

"Dos penggalak perlu diberikan selepas tempoh tertentu untuk memastikan imuniti yang diperoleh kekal pada tahap yang optimum.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan pengambilan dos penggalak dalam usaha mengelakkan berlaku peningkatan semula kes dan kemasukan ke hospital sehingga menyebabkan sistem kesihatan negara terbeban," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pelaksanaan pemberian dos penggalak sudah bermula di seluruh negara sejak 13 Oktober 2021.

Katanya, sehingga semalam, seramai 10,235,759 atau 43.7 peratus populasi Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas atau 44.7 peratus daripada penduduk dewasa sudah mendapatkan dos lengkap, kini sudah menerima dos penggalak.

"Dos penggalak boleh meningkatkan tahap imuniti terhadap jangkitan varian Omicron sehingga 70 peratus berbanding mereka yang tidak menerima dos penggalak.

"Keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada kumpulan berisiko tinggi dan rentan seperti anggota barisan hadapan iaitu petugas kesihatan dan petugas keselamatan, warga emas berusia 60 tahun ke atas, orang kurang upaya serta individu dengan komorbid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:06 PM