LALUAN dan kereta api menjadi lokasi kejadian amuk. FOTO AFP
LALUAN dan kereta api menjadi lokasi kejadian amuk. FOTO AFP
Agensi

Tokyo: Seorang lelaki berusia 24 tahun yang memakai kostum Joker menyerang dan mencederakan penumpang yang menaiki kereta api ke pusat bandar Tokyo ketika sambutan Halloween.

NHK melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Tokyo mengesahkan 17 penumpang cedera manakala tiga parah dan tidak semua dari mereka cedera ditikam.

Penyerang yang dikenalpasti sebagai lelaki ditahan di tempat kejadian dan motif kejadian sedang disiasat.

Nippon TV melaporkan, suspek mengatakan kepada polis dia ingin membunuh dan menerima hukuman mati.

Kejadian berlaku di di laluan ekspres Keio menuju ke Shinjuku, stesen kereta api paling sibuk di dunia kira-kira jam 8 malam.

Saksi mendakwa penyerang juga memulakan kebakaran dalam kereta api dan asid hidroklorik di dalam gerabak berkenaan.

Satu video yang dimuat naik di Twitter dan disiarkan di NHK menunjukkan orang awam melarikan diri keluar dari kereta api sebelum letupan kecil yang menyebabkan kebakaran.

Satu lagi video menunjukkan penumpang bergegas keluar dari tingkap kereta api menuju ke platform.

"Saya lihat orang ramai berlari keluar, saya fikir ia aksi lakonan sempena Halloween. Tetapi kemudian saya nampak lelaki itu, membawa pisau," kata saksi kepada akhbar Yomiuri.

Sementara itu AFP melaporkan lelaki itu sudah ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 1:21 PM