MELAKA 25 MAC 2024. Kain rentang menggunakan gambar Ketua Menteri dipasang di KK Mart Bandar Baru Merlimau Utara. NSTP/AMIR MAMAT
MELAKA 25 MAC 2024. Kain rentang menggunakan gambar Ketua Menteri dipasang di KK Mart Bandar Baru Merlimau Utara. NSTP/AMIR MAMAT
Oleh Dr Zuraimy Ali

Isu kontroversi yang membabitkan sensitiviti umat Islam terkait dengan stoking yang tertera kalimah Allah sewajarnya tidak berlaku dalam era Malaysia Madani. Ini kerana pentadbiran Kerajaan Perpaduan sudah menjelaskan secara tegas dan tuntas bahawa sebarang bentuk isu yang menyentuh 3R (agama, kaum dan institusi raja) tidak diizinkan berlaku dalam negara. Bahkan isu yang membabitkan agama mampu membawa kepada ketidakharmonian rakyat.

Namun, situasi itu berlaku dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan umat Islam. Justeru, beberapa langkah dan tindakan pantas perlu segera diambil bagi menangani supaya ia tidak berulang kembali. Bagi menyelesaikan kemelut yang menghantui pelbagai pihak sama ada pihak peniaga mahupun pihak yang tidak berpuas hati atas sikap cuai yang ditunjukkan peniaga, beberapa langkah pencegahan perlu dilaksanakan segera.

Pertama, pihak berkuasa perlu menyiasat punca sebenar di sebalik penjualan stoking tertera kalimah Allah dan siapa sebenarnya yang perlu diheret kemuka pengadilan. Kedua, situasi ini memerlukan setiap umat Islam bertenang dan tidak bertindak melampaui batas undang-undang sehingga siasatan selesai. Ia bagi mengelak berlaku sebarang bentuk keganasan di luar kawalan dan menyebabkan siasatan terganggu. Peniaga perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap kecuaian yang sudah berlaku.

Bagi umat Islam pula perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa membuat siasatan lanjut. Pihak peniaga sudah memohon maaf atas kecuaian dan sudah menarik kembali penjualan stoking terbabit.

Ketiga, pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim perlu mempergiatkan program kesedaran masyarakat khususnya membabitkan masyarakat bukan Islam bagi menjelaskan perkara yang menjadi sensitiviti umat Islam. Penyebaran maklumat berkaitan Islam perlu digerakkan ke seluruh negara bagi mendidik masyarakat supaya lebih menanam sikap hormat menghormati serta mengelak daripada berulangnya kemelut yang berlaku kini. Justeru, usaha memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab menjadi rakyat yang baik menerusi dialog harmoni antara kaum perlu diperluaskan dan sudah tentu peruntukan Jakim perlu ditambah demi memastikan keharmonian kaum dan agama sentiasa kekal terpelihara.

Keempat, pihak berkuasa perlu memastikan bahawa semua peniaga bukan Islam perlu mendapatkan sijil etika perniagaan daripada pihak berkuasa dan sijil ini perlu diperbaharui setiap tahun bagi mengingatkan peniaga bahawa keperluan menjalankan perniagaan perlu mengambil kira keperluan etika supaya ia tidak mengundang sensitiviti terhadap umat Islam yang kebanyakannya adalah pengguna majoriti dalam negara.

Sijil ini boleh diperoleh melalui kursus jangka pendek dan ia menyentuh mengenai etika perniagaan. Kursus ini boleh dikendalikan Jakim seperti sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jakim.

Kelima, peniaga bukan Islam yang beroperasi dengan skala besar perlu diwajibkan melantik pegawai pemasaran dalam kalangan Muslim bagi menyemak dan meluluskan sesuatu barangan jualan sebelum ia dijual kepada pengguna. Dengan adanya pegawai pemasaran bagi setiap premis perniagaan dapat mengambil tanggungjawab memastikan kualiti barang memenuhi piawaian syariah serta tidak memberi kesan buruk terhadap sensitiviti umat Islam.

Keenam, peniaga bukan Islam perlu sentiasa melibatkan diri bersama NGO Pengguna Islam bagi memperkukuhkan hubungan dan bertukar idea bagi memperbaiki kelemahan dan mengelak prejudis dalam kalangan pengguna Islam. Justeru, dengan beberapa pendekatan yang berhikmah dan persiapan perancangan yang rapi diharapkan isu yang terpalit dengan kontroversi dan sensitif umat Islam dapat dibendung pada masa hadapan.

Malaysia perlu melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang dilihat mampu memberikan contoh yang baik kepada masyarakat dunia dengan sikap hormat menghormati yang tinggi dalam kalangan pelbagai kaum. Ini mampu mengangkat maruah dan darjat rakyat Malaysia ke persada dunia. Sebarang bentuk ancaman yang mencabar keharmonian kaum perlu dibanteras segera.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 6:30 AM