FOTO kejadian yang tular di media sosial.
FOTO kejadian yang tular di media sosial.
Agensi

Beijing: Pengguna jalan raya di Yiwu wilayah Zhejiang terkejut apabila melihat seorang wanita menjerit kesakitan di tepi jalan.

Apa yang mengejutkan adalah wanita itu sebenarnya menahan kesakitan kerana mahu melahirkan bayinya.

Wanita itu akhirnya berjaya melahirkan bayi beberapa minit kemudian.

Menurut laporan media tempatan, ketika kejadian, wanita terbabit dikatakan dalam perjalanan ke hospital untuk bersalin.

Menerusi video yang kini tular di media sosial, wanita terbabit dilihat berdiri di jalan raya.

Kepalanya dilihat dalam posisi tunduk sambil menahan kesakitan.

Difahamkan, seorang individu memegang lengan wanita terbabit sambil cuba menenangkannya.

Menurut saksi kejadian, wanita itu menahan kesakitan dan melahirkan bayi dalam tempoh kurang seminit.

Ia sebelum doktor dan jururawat tiba di lokasi berkenaan.

Video kejadian mengundang rasa sayu masyarakat yang bimbang keselamatan ibu dan bayi terbabit.

Dalam pada itu, Hospital Bersalin dan Kanak-Kanak Yiwu, pada Ahad, memaklumkan bayi perempuan dan ibunya dalam keadaan sihat.

Pihak hospital juga berterima kasih kepada orang ramai yang membantu memudahkan proses kelahiran berkenaan.

Ibu dan bayi perempuan itu dibenarkan pulang beberapa hari kemudian selepas disahkan sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:31 AM