Ena Afiza selamat melahirkan bayi perempuan dengan bantuan anggota polis wanita dan orang awam.
Ena Afiza selamat melahirkan bayi perempuan dengan bantuan anggota polis wanita dan orang awam.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: “Tangan saya menggeletar masa hendak sambut bayi itu ditambah dengan darah yang banyak. Walaupun takut namun saya terpaksa memberanikan diri disebabkan hanya saya satu-satunya anggota wanita di balai ketika itu,” kata anggota Balai Polis Kampung Tawas Konstabel Hasliza Abdul Jalil yang menjadi bidan menyambut kelahiran seorang bayi, semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 petang itu, seorang bayi perempuan dilahirkan dalam kawasan balai selepas ibu bapanya tidak sempat ke hospital disebabkan kesesakan jalan raya.

Bayi seberat tiga kilogram (kg) itu dilahirkan dalam Perodua Kancil dengan dibidankan Hasliza, 25, serta bantuan seorang orang awam.

Kejadian di perkarangan balai itu berlaku apabila pasangan suami isteri berkenaan, Mohd Maulod Mohd Yusof, 38, dan Ena Afiza Mokhtar, 38, dalam perjalanan dari rumah mereka di Klebang Putra ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) terpaksa berhenti untuk meminta bantuan.

Hasliza, 25, berkata, dia yang memulakan tugas jam 1 petang terkejut apabila seorang lelaki memberhentikan kereta di depan balai dan meminta membantu mengiringinya ke HRPB berikutan isterinya hendak bersalin.

Katanya, wanita di dalam kereta itu tiba-tiba menjerit kesakitan dan dia melihat kepala bayi berkenaan sudah terkeluar.

“Saya terpaksa menenangkan wanita itu dengan menyapu air di kepalanya dan membantu menyambut bayi walaupun saya tidak berani kerana membabitkan nyawa ibu serta anak.

“Alhamdulillah, dalam tempoh tidak sampai lima minit, wanita itu selamat melahirkan bayi dengan mudah,” katanya ketika ditemui di balai berkenaan.

Menurutnya, seorang anggota kemudiannya menelefon hospital sebelum arahan diberikan hospital untuk mengikat tali pusat bayi berkenaan kerana uri masih tidak keluar lagi.

Katanya, kira-kira 30 minit selepas itu, pasukan perubatan tiba dan bertindak memotong tali pusat sebelum membawa ibu serta bayi ke hospital untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, bayi perempuan terbabit adalah anak kelima pasangan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengucapkan tahniah kepada anggotanya yang membantu orang awam tidak kira dalam apa jua keadaan termasuk menjadi bidan serta menyambut kelahiran.

“Tindakan pantas anggota Balai Polis Kampung Tawas berjaya membantu seorang wanita bersalin dengan selamat. Tahniah warga Balai Polis Kampung Tawas,” katanya.

Turut memuji tindakan anggota balai berkenaan adalah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memuat naik status di laman Twitternya.

“Syabas warga Balai Tawas, bantu ibu yang tak sempat ke hospital melahirkan anak di balai. PDRM serba boleh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 5:07 AM