China melaporkan jangkitan pertama strain selesema burung H10N3 terhadap manusia. FOTO AFP
China melaporkan jangkitan pertama strain selesema burung H10N3 terhadap manusia. FOTO AFP
AFP

Beijing: China melaporkan jangkitan pertama strain selesema burung H10N3 terhadap manusia, namun menyatakan risiko penyebarannya secara meluas dalam kalangan manusia adalah rendah.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional China (NHC) dalam satu kenyataan berkata, seorang lelaki berusia 41 tahun dimasukkan ke hospital dengan gejala demam di bandar timur Zhenjiang pada 28 April lalu dan didiagnosis menghidap H10N3 sebulan kemudian.

"Risiko penyebaran berskala besar adalah sangat rendah," katanya.

Menurutnya, lelaki itu berada dalam keadaan stabil dan kontak rapatnya tidak melaporkan sebarang kelainan.

Ia menggambarkan H10N3 sebagai patogen rendah yang cenderung menyebabkan kematian atau penyakit teruk kepada burung.

NHC berkata, tidak ada kes H10N3 pada manusia yang dilaporkan sebelum ini di seluruh dunia.

Beberapa jenis selesema burung dikesan dalam kalangan haiwan di China tetapi wabak besar pada manusia jarang terjadi.

Wabak selesema burung terhadap manusia kali terakhir di China berlaku pada akhir 2016 hingga 2017, dengan virus H7N9.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, H7N9 menjangkiti 1,668 orang dan meragut 616 nyawa sejak 2013.

Berikutan wabak selesema burung baru-baru ini di Afrika dan Eurasia, ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China minggu lalu menggesa pengawasan yang lebih ketat di ladang unggas, pasar dan burung liar.

Covid-19 pertama kali dikesan di pasar makanan dan haiwan di bandar Wuhan, China pada akhir 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 6:39 PM