FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Ramallah: Pihak Berkuasa Palestin membatalkan perjanjian untuk menerima sejuta dos vaksin sumbangan Israel.

BBC News melaporkan, keputusan itu dibuat kerana vaksin Pfizer yang diberikan sudah menghampiri tarikh luputnya.

Terdahulu, Israel memaklumkan tidak memerlukan stok vaksin yang sudah lama dan akan menggunakannya untuk mempercepat program vaksinasi Palestin.

Sebagai balasan, Palestin perlu memberikan sejumlah vaksin kepada Israel seperti yang dijangka diterima rejim itu daripada organisasi Pfizer pada akhir tahun ini.

Bagaimanapun, pegawai Palestin memaklumkan vaksin kumpulan pertama diperoleh sudah hampir dengan tarikh luput dan mendapati tidak cukup masa untuk menggunakannya sekali gus membatalkan perjanjian awal dengan Israel.

Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin, Ibrahim Melhem memaklumkan bekalan awal kira-kira 90,000 dos yang dihantar gagal mematuhi spesifikasi yang terkandung dalam perjanjian itu.

Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh kemudiannya mengarahkan Menteri Kesihatan untuk membatalkan perjanjian itu.

"Kerajaan enggan menerima vaksin yang hampir tamat tarikh luputnya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi Wafa.

Tambah Melhem, kerajaan sebaliknya akan menunggu bekalan vaksin yang dipesan oleh pihak berkuasa secara langsung daripada Pfizer.

Kira-kira 55 peratus penduduk Israel yang memenuhi syarat susah diberikan dua dos sebagai sebahagian daripada kempen vaksinasi besar-besaran.

Pegawai Palestin pula mengesahkan 30 peratus rakyat Palestin yang memenuhi syarat di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang dijajah sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Rakyat Palestin menerima dos vaksin dari Israel, Rusia, China, Emiriah Arab Bersatu dan inisiatif perkongsian vaksin global menerusi program pengedaran vaksin antarabangsa (Covax).

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik kegagalan Israel untuk memperluas program vaksinasi sepenuhnya kepada rakyat Palestin yang berada di bawah kawalannya.

Israel pula mengatakan Palestin bertanggungjawab untuk menguruskan hal kesihatan di wilayahnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 10:45 AM