BENJAMIN Netanyahu menerima suntikan vaksin Covid-19 di Sheba Medical Center, Ramat Gan. FOTO AFP
BENJAMIN Netanyahu menerima suntikan vaksin Covid-19 di Sheba Medical Center, Ramat Gan. FOTO AFP
Agensi

Ramallah: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menerima suntikan vaksin Covid-19, sekali gus menjadikan negara itu antara yang terawal menerima vaksin.

Ketika kempen vaksinasi giat dijalankan termasuk untuk penduduk di kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, namun ia tidak membabitkan lima juta rakyat Palestin yang tinggal di situ dan di Semenanjung Gaza.

Rakyat Palestin kini perlu terus menanti bila mereka menerima suntikan vaksin berikutan kekangan kewangan pihak berkuasa Palestin yang mentadbir beberapa bahagian Tebing Barat di bawah perjanjian damai sementara yang ditandatangani pada 1990-an.

Kementerian Kesihatan Palestin menjangkakan vaksin pertama AstraZeneca akan tiba di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza awal Mac ini, dua bulan selepas Israel menerima vaksin.

"Kami menandatangani perjanjian dengan AstraZeneca untuk mendapatkan dua juta dos vaksin," kata Menteri Kesihatan Palestin May al-Kaila kepada Al Jazeera.

Dua juta dos vaksin itu hanya mampu menampung penggunaan untuk sejuta rakyat negara berkenaan.

Vaksin itu tidak dikenakan bayaran dan terbuka kepada sesiapa yang sukarela ingin mendapatkan suntikan.

Lebih 148,100 rakyat Palestin disahkan positif Covid-19 dengan 1,610 kematian dilaporkan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sejak pandemik ini menular.

Dengan peningkatan kes jangkitan, ramai rakyat negara itu tidak sanggup menanti sehingga Mac ini bagi mendapatkan suntikan.

Jangkitan harian terkini di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza melebihi 1,000 pada bulan lalu.

Pada pertengahan Disember, jumlah kes jangkitan mencecah 1,500.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 6:55 AM