FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Lombok: Seorang wanita meninggal dunia akibat disambar petir ketika mahu berteduh daripada hujan di sebuah pondok berhampiran ladang di daerah Dompu, Nusa Tenggara Barat.

Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku di depan mata suaminya.

Portal Kompas melaporkan, pada kejadian kelmarin itu, mangsa dikenali sebagai Maani dan berusia 36 tahun.

Sebelum kejadian, mangsa membantu suami melakukan kerja di sebuah ladang kacang tanah.

Disebabkan hujan, mereka berhenti melakukan kerja untuk berehat seketika di sebuah pondok.

Difahamkan, pondok itu hanya terletak 100 meter dari ladang berkenaan.

Namun, mangsa tidak bernasib naik apabila disambar petir ketika berjalan menuju ke pondok berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pajo, Abdul Malik berkata, selepas disambar petir, wanita itu terus rebah.

Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

"Terdapat kesan melecur pada bahagian punggung dan leher mangsa

"Suami mangsa mengangkat mayat isterinya dan meminta pertolongan daripada penduduk setempat," katanya.

Berikutan insiden itu, Abdul Malik mengingatkan penduduk daerah berkenaan supaya berhati-hati ketika melakukan kerja di luar rumah.

Menurutnya, ini memandangkan keadaan cuaca kini yang tidak menentu.

"Saya ingatkan anda semua supaya berhati-hati disebabkan keadaan cuaca ketika ini yang agak ekstrem," katanya. Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:45 AM