GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Bandung: Dua mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Geologi, Universiti Padjajaran (Unpad) maut selepas disambar petir ketika sedang berkhemah di Tapak Perkhemahan Batu Kuda, di sini, pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, Mitzelion Rayi Adimastya Putra, 20 dan Bangkit Alyuda Prasetyo, 19 tahun meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Detik.com melaporkan, ketika kejadian mahasiswa berkenaan sedang berkhemah bersama dua ahli baharu kumpulan pencinta alam sebagai satu daripada tugasan yang perlu dilaksanakan.

Ketua Pesuruhjaya Polis Bandung, Kusworo Wibowo berkata, kumpulan itu tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 4 petang (WIB) dan mendirikan khemah.

"Ketika kejadian, hujan lebat disertai petir. Mereka cuba keluar dari khemah, namun disambar petir menyebabkan tiga daripada mereka terbaring dan menjerit kesakitan.

"Mereka kemudian dibawa ke Hospital AMC, bagaimanapun Mitzelion dan Bangkit disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi penuntut Adinda Difa masih dirawat," katanya kepada detikJabar.

Sementara, Ketua Pejabat Perhubungan Awam Unpad, Dandi Supriadi mengesahkan kejadian itu, namun memaklumkan perkhemahan itu bukan aktiviti rasmi kampus.

"Ya, boleh kata begitu (perkhemahan di luar aktiviti kampus) kerana kuliah belum bermula, Isnin baru mula. Ini bukan aktiviti fakulti, tetapi kem sukarela.

"Saya tidak pasti berapa ramai yang menyertai perkhemahan itu dan siapa mereka, tetapi mereka semua mahasiswa (fakulti) geologi. Saya tidak dapat mengesahkan berapa orang," katanya.

Difahamkan, Bangkit dari Padang, manakala Adimastya dari Cibubur, Jakarta Timur.

Dalam pada itu, Dandi bagi pihak Unpad merakamkan ucapan takziah atas kematian kedua-dua mahasiswa berkenaan, selain menyeru mereka berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar dalam keadaan cuaca ekstrem.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 8:30 AM