Ahmad Ismail


ORANG ramai dinasihatkan jangan berada di kawasan lapang terutama ketika perubahan cuaca kerana berisiko tinggi untuk dipanah petir.

Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, Kapten (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, perubahan cuaca mendadak ketika ini menyaksikan hujan lebat dan ribut sering berlaku di Segamat terutama pada waktu petang.

“Kita dapat saksikan sejak kebelakangan ini cuaca berubah dari panas sepanjang hari tiba-tiba mendung disusuli hujan dan ribut petir. Keadaan ini turut dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Berikutan itu, kami menasihatkan penternak haiwan yang berada di padang selain mereka yang kerap beriadah di kawasan terbuka supaya berhati-hati dan jangan berada di kawasan lapang kerana risiko dipanah petir terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, selain itu tindakan mencari perlindungan di bawah pokok atau pondok tidak digalakkan kerana terdedah kepada bahaya dipanah petir, sebaliknya orang ramai dinasihatkan memasuki bangunan tertutup.

Katanya, mungkin ramai beranggapan petir hanya berlaku ketika hujan lebat, namun kebanyakan kes disambar petir sebenarnya berlaku sebelum hujan lebat atau ketika hujan renyai-renyai.

“Kami juga menasihatkan kanak-kanak supaya jangan bermain layang-layang kerana sebarang objek di udara lebih mudah disambar petir.

“Ibu bapa dan orang ramai diminta menasihatkan kanak-kanak yang dilihat bermain layang-layang pada waktu berbahaya. Selain itu, kami menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kabel elektrik yang terjatuh di dalam lopak air kerana berkemungkinan terdapat arus elektrik voltan tinggi.

“Sekiranya melihat keadaan ini, adalah lebih baik menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana mereka lebih mahir. Pada masa sama, orang ramai perlu mengelak berada di bawah pokok kelapa atau durian pada waktu hujan kerana berisiko ditimpa buah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, walaupun masih belum ada kes dipanah petir tahun ini orang ramai diminta berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku disebabkan kurang mendapat pendedahan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 12:43 PM