GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Istanbul: Sebuah mahkamah di Turki pada Isnin menjatuhkan 40 hukuman penjara seumur hidup dan ditambah dengan lebih 1,300 tahun penjara ke atas lelaki bersenjata yang terbabit dalam serangan Tahun Baru 2017 di sebuah kelab malam di Istanbul, mengorbankan 39 nyawa, lapor Agensi Anadolu.

Mahkamah itu menjatuhkan hukuman terhadap warga Uzbekistan Abdulkadir Masharipov kerana melanggar Perlembagaan dan menyebabkan kematian 39 orang, termasuk seorang pegawai polis.

Masharipov juga dijatuhi hukuman penjara 1,368 tahun kerana cubaan membunuh 79 orang dan melanggar undang-undang senjata api.

Di samping itu, Ilyas Mamasaripov yang berdepan tuduhan sebagai antara perancang serangan pengganas dan membantu Masharipov, dijatuhi hukuman penjara 1,432 tahun kerana bersubahat.

Tertuduh melepaskan tembakan ke arah pengunjung pesta malam Tahun Baru di kelab malam Reina di daerah Ortakoy, Istanbul pada awal 1 Januari 2017.

Mereka yang terkorban itu termasuk 27 warga asing dan 79 lagi cedera.

Masharipov, 34, ditahan di kawasan perumahan di Esenyurt selepas diburu selama 17 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 2:22 PM