GOKSAL dan Gokmen bergambar dengan bapa mereka Sinasi. - Agensi
GOKSAL dan Gokmen bergambar dengan bapa mereka Sinasi. - Agensi
Agensi

ISTANBUL: Seorang lelaki yang baharu bebas dari penjara atas kesalahan membunuh dua adiknya ditangkap sekali lagi selepas dia menembak mati semua ahli keluarganya akibat marah kerana tidak menjaga isterinya yang dibunuh.

Daily Mirror melaporkan, Sinasi Gurkan membunuh lima ahli keluarganya termasuk dua anaknya kerana menuduh mereka tidak melindungi isterinya yang dibunuh dua tahun lalu ketika dia dipenjara.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di daerah Sisli di barat laut Istanbul kira-kira setahun Sinasi dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 16 tahun kerana membunuh dua adiknya ketika berbalah mengenai wang.

Selepas keluar dari penjara, Sinasi tinggal bersama dua anak lelakinya di Esenyurt tetapi Selasa lalu dia membunuh dua abang iparnya yang dikenali sebagai Alihan Tiz dan Erdal Tiz.

Sinasi dilaporkan melawat rumah mangsa sebelum menembak mereka.

Lelaki itu kemudian pergi ke rumah satu-satunya adiknya yang masih tinggal, Muhendis Gurkan dan menembak mangsa yang berada di dalam kereta.

Polis yang menyiasat pembunuhan itu pergi ke rumah Sinasi untuk disoal siasat tetapi sebaliknya mereka menemui mayat dua anak lelaki suspek, Goksal, 21, dan Gokmen, 16.

Pihak berkuasa melancarkan operasi memburu Sinasi kerana mengesyaki lelaki itu bertanggungjawab ke atas pembunuhan kejam berkenaan.

Menurut laporan, polis berjaya menjejak kereta Sinasi dan mengejar kenderaan itu sejauh beberapa kilometer sebelum kenderaannya terbabas.

Sinasi terjun dari keretanya dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.

Ketika disoal siasat, Sinasi mengaku dia membunuh semua ahli keluarganya itu kerana marah mereka tidak menjaga isterinya dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 7:01 AM