CHAMOY Thipyaso dipenjara  141,078 tahun pada 1989.
CHAMOY Thipyaso dipenjara 141,078 tahun pada 1989.
AFP

Istanbul: Baru-baru ini, seorang ketua kultus di Turki, Adnan Oktar dihukum penjara 1,075 tahun atas kesalahan jenayah seksual, menjadikan dia antara penerima hukuman penjara paling lama di dunia.

Namun, lelaki yang juga dikenali sebagai Adnan Hoca dan Harun Yahya itu bukan banduan tunggal yang bakal menghabiskan hidupnya di sebalik tirai besi.

Antaranya, Terry Nichols yang juga pengganas dihukum penjara kerana membantu rakannya, Timothy McVeigh melakukan pengeboman di Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) pada 1995 menyebabkan 168 mangsa terbunuh termasuk 19 kanak-kanak.

Walaupun cuba menarik diri daripada terbabit dalam serangan di bangunan kerajaan persekutuan itu, Nichols tetap dihukum dengan 161 hukuman penjara seumur hidup dan ditambah hukuman 9,300 tahun tanpa parol.

Nichols, 65, berkongsi blok sel Colorado sama dengan pengebom Taman Olimpik di Atlanta, AS, pada 1996, Ted Kaczynski atau dikenali sebagai Unabomber; Eric Rudolph dan Ramzi Yousef, seorang lelaki Pakistan yang disabitkan salah dalam serangan Pusat Dagangan Dunia, New York pada 1993.

Selain itu, seorang hakim di Oklahoma, AS, menjatuhkan hukuman penjara 30,000 tahun kepada Charles Scott Robinson pada 1994 kerana merogol anak kecil.

ADNAN Oktar dihukum penjara atas kesalahan jenayah seksual. FOTO AFP
ADNAN Oktar dihukum penjara atas kesalahan jenayah seksual. FOTO AFP

Menurut Guinness World Records, hukuman jel seumur hidup paling panjang adalah terhadap penipu skim piramid Thailand, Chamoy Thipyaso, yang dipenjara 141,078 tahun pada 1989.

Bagaimanapun, dia dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama lapan tahun kerana mendapat pengampunan diraja.

Madrid pula memegang rekod dalam negara Kesatuan Eropah (EU) kerana menjatuhkan hukuman penjara terpanjang kepada pesalah yang disabitkan atas serangan pengganas.

Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 120,000 tahun kerana terbabit pengeboman kereta api di Madrid pada 2004 yang meragut 193 nyawa.

Anggota pengganas Euskadi Ta Askatasuna (ETA) pula dihukum penjara ribuan tahun lamanya, termasuk Ines del Rio Prada yang dijatuhi hukuman 3,828 tahun kerana berperanan dalam 24 pembunuhan dan tindakan pengganas lain.

Tetapi dia dibebaskan pada 2013 selepas 26 tahun oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah apabila seorang anggota ETA, Henri 'Unai' Parot mencabar hukuman 4,797 tahunnya untuk pengeboman Zaragoza Barracks pada 1987.

Undang-undang Eropah kini menetapkan hukuman membabitkan kesalahan jenayah hanya dijatuhkan antara 30 hingga 40 tahun bergantung kepada kesalahan.

Hukuman dijatuhkan kepada Adnan Oktar pada Isnin adalah hukuman kedua tertinggi di negara berkenaan dalam tempoh beberapa bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 6:30 AM