JULIE Wheeler. FOTO Agensi
JULIE Wheeler. FOTO Agensi
Agensi

New York: Demi mengelak hukuman penjara, seorang wanita sanggup berpakat dengan suami dan anaknya, kononnya dia hilang selepas terjatuh dari tebing sungai di sebuah taman negara di Amerika Syarikat.

Pada Februari lalu, Julie Wheeler mengaku bersalah atas pertuduhan penipuan penjagaan kesihatan persekutuan membabitkan nilai sebanyak AS$300,000 (kira-kira RM1.3 juta).

Berikutan kesalahan itu, wanita itu berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda lebih daripada AS$250,000 AS$ (kira-kira RM1.1 juta).

Mahkamah dijangka menjatuhkan hukuman terhadap wanita itu pada 17 Jun ini.

Bagaimanapun, sebelum prosiding berkenaan, wanita itu dibebaskan dengan jaminan.

Pada 31 Mei lalu, suaminya, Rodney Wheeler melaporkan isterinya itu hilang selepas keluarga mereka berkunjung ke pelantar pemandangan di New River Gorge National River.

Susulan laporan itu, pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama tiga hari.

Gerakan SAR turut dijalankan dengan bantuan pelbagai agensi termasuk menggunakan helikopter, anjing pengesan dan skuad penyelam di sekitar kawasan sungai.

Pasukan penyiasat kemudian memeriksa rekod panggilan dan komputer digunakan wanita itu, sebelum menemui wanita itu dalam keadaan sihat di dalam almari rumahnya.

New York Post melaporkan, Julie bersubahat dengan suami dan anaknya yang berusia 17 tahun dengan meminta mereka melaporkan kehilangannya.

Susulan kejadian, Julie dan suaminya, Rodney Wheeler ditangkap polis, pada hari sama.

Mereka kini berdepan pelbagai tuduhan termasuk melakukan konspirasi penipuan dan memberikan maklumat palsu kepada Polis West Virginia.

Namun, tiada maklumat berhubung status anak mereka sama ada anak ditangkap atau sebaliknya kerana bersubahat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 7:00 AM