ANTARA barangan berkaitan pandemik Covid-19 yang dikumpulkan oleh beberapa muzium di Jepun. FOTO Agensi
ANTARA barangan berkaitan pandemik Covid-19 yang dikumpulkan oleh beberapa muzium di Jepun. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Beberapa muzium di sekitar Jepun kini giat mengumpul bahan berkaitan pandemik Covid-19 seperti pelitup muka dan risalah untuk disimpan sebagai tatapan generasi akan datang.

Japan Times melaporkan langkah itu diambil selepas muzium terbabit menyedari kesukaran mendapatkan data dan maklumat wabak Selsema Sepanyol.

Pandemik Selesema Sepanyol yang berlaku selama dua tahun mulai 1918 menyebabkan kematian antara 20 hingga 50 juta penduduk dunia.

Inisiatif itu disambut baik antaranya oleh penduduk Urahoro di bandar Hokkaido yang mendermakan 200 barangan.

Ia termasuk risalah maklumat pembatalan festival, kupon makanan bawa pulang dan pelitup muka fabrik yang diedarkan oleh kerajaan pusat.

"Kehidupan harian kita akan menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah. Jadi, kita mahu mengumpul sebanyak mungkin bahan untuk pameran sebelum ia dibuang.

"Malah, ia boleh membantu kita apabila melihatnya pada masa depan," kata kurator muzium bandar, Makoto Mochida.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:45 AM