PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 di rumah di kejiranan La Paz, Bolivia. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 di rumah di kejiranan La Paz, Bolivia. FOTO AFP
AFP

Geneva: Penularan pandemik Covid-19 dikatakan akan dapat dikekang dalam tempoh dua tahun, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketika ini, beberapa negara barat Eropah terutamanya Jerman, Perancis, Sepanyol dan Itali berdepan dengan gelombang kedua penularan virus berkenaan.

Di Madrid, ibu kota Sepanyol, pihak berkuasa menyarankan individu di kawasan paling terjejas supaya duduk di rumah bagi mengekang penularan wabak itu.

Perancis juga merekodkan kes harian melebihi 4,000, angka yang tidak dilihat sejak Mei lalu, dengan kebanyakan daripada kes membabitkan kawasan bandar.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah WHO Adhanom Ghebreyesus berkata, pandemik Covid-19 tidak boleh disamakan dengan penularan Selesama Sepanyol pada 1918.

"Kita bernasib kurang baik berikutan globalisiasi, kesalinghubungan dan masyarakat dunia lebih dekat pada masa kini, tetapi kita mempunyai kelebihan dari segi teknologi.

"Kita berharap pandemik ini akan reda dalam tempoh kurang dua tahun," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, dengan menggunakan sepenuhnya kelebihan pada masa kini termasuk vaksin, virus itu akan dapat dilawan lebih cepat berbanding Selesama Sepanyol.

WHO menyarankan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas untuk menggunakan pelitup muka dalam situasi sama seperti orang dewasa bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Tanpa ada vaksin yang tersedia bagi melawan Covid-19, negara perlu menggunakan semua langkah yang perlu termasuk penjarakan fizikal bagi mengekang penularan wabak ini.

Terkini, Lubnan yang baru dilanda tragedi letupan mengumumkan langkah lebih ketat bermula Jumaat termasuk perintah berkurung pada malam.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat menjadi negara paling terjejas teruk akibat Covid-19 dengan membabitkan lebih separuh daripada angka kematian global.

Selepas melepasi 70,000 kes sehari pada Julai, kes baharu di negara itu merekodkan penurunan dengan 43,000 kes pada Khamis.

Lain pula situasi di Amerika Latin apabila pandemik itu menyebabkan peningkatan kes jenayah dan kemiskinan.

Setakat semalam, sebanyak 23 juta kes Covid-19 di direkodkan di seluruh dunia dengan lebih 802,000 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 9:55 AM