PENDUDUK Sudan yang kehilangan tempat tinggal kerana perang di negara itu. FOTO AFP
PENDUDUK Sudan yang kehilangan tempat tinggal kerana perang di negara itu. FOTO AFP
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin memasukkan Brunei dan Sudan ke dalam senarai hitam pemerdagangan manusia, sambil memberi amaran bahawa teknologi memburukkan lagi isu yang menjejaskan jutaan individu di seluruh dunia itu.

Dalam laporan tahunan, jabatan negara itu menambah Brunei dan Sudan ke dalam senarai hitam Tahap 3 untuk negara yang tidak melakukan tindakan yang mencukupi terhadap pemerdagangan manusia dan boleh dikenakan sekatan AS atau pengurangan bantuan.

Brunei, rakan kongsi AS sebagai sebahagian daripada blok Asean tidak mensabitkan kesalahan mana-mana penyeludup selama tujuh tahun berturut-turut, dan berkemungkinan mendakwa atau menghantar pulang beberapa mangsa yang memerlukan bantuan, kata jabatan negara.

Menurut laporan itu, kerajaan yang kaya dengan minyak juga menghebahkan usaha untuk menangkap pekerja yang melarikan diri dan merotan mereka yang ditangkap.

Brunei secara amnya mempunyai hubungan baik dengan AS, walaupun negara majoriti Islam itu menghadapi kritikan kerana mengekalkan hukuman mati untuk homoseksual.

Sudan pula jatuh dari kedudukan pada tahun sebelumnya apabila negara itu mengalami perang dahsyat.

"Kami menilai dasar atau corak pemerdagangan (oleh) Kerajaan Sudan kerana ia berkaitan dengan merekut tentera kanak-kanak," Cindy Dyer, duta besar AS yang bertanggungjawab ke atas pemerdagangan manusia, memberitahu pemberita.

Kebanyakan negara dalam senarai hitam Tahap 3 mempunyai hubungan buruk dengan AS, termasuk China, Rusia dan Venezuela.

AS mengeluarkan Algeria daripada senarai hitam itu dengan alasan negara itu mengambil inisiatif penting, merujuk kepada undang-undang antipemerdagangan yang baharu dan pendakwaan yang jumlahnya tiga kali ganda terhadap pesalah.

Mesir, Afrika Selatan dan Vietnam, kedua-duanya dikeluarkan daripada senarai pemerhatian, yang membawa ancaman untuk menurunkan taraf ke Tahap 3, jika tiada penambahbaikan.

Vietnam yang hanya dua tahun lalu berada di kedudukan paling bawah di Tahap 3, meningkat ke tangga lebih baik, berikutan peningkatan penyiasatan dan pendakwaan, serta bantuan yang lebih besar kepada mangsa, kata Dyer.

Laporan itu mendedahkan Mesir mengenakan lebih daripada dua kali ganda pendakwaan terhadap dakwaan penyeludup dan pegawai pendakwaan yang dituduh bersubahat.

Afrika Selatan juga dikreditkan dengan peningkatan pendakwaan dan dengan menubuhkan lebih banyak tempat perlindungan untuk mangsa.

Walaupun terdapat beberapa penambahbaikan, laporan itu memberi amaran bahawa pemerdagangan manusia kekal sebagai masalah utama di seluruh dunia, menganggarkan bahawa 27 juta individu di seluruh dunia dieksploitasi untuk buruh, seks atau perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 9:50 AM