Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan satu pelan komprehensif utama untuk kawalan sempadan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, menerusi pelan komprehensif itu, beliau akan menggunakan pelbagai kaedah serta aset yang ada supaya isu berkenaan dapat ditangani sebaiknya.

"Antaranya kita mahu gabungkan segala aset yang ada di seluruh negara, serta menubuhkan satu agensi berkaitan sempadan dan menggunakan teknologi terkini untuk mengawal keluar masuk individu di dalam negara.

"Contohnya di Jabatan Imigresen, kita sudah menambah baik beberapa sistem di jabatan berkenaan, selain itu di Polis Diraja Malaysia (PDRM) kita sudah melakukan penambahbaikan pada aset mereka, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pula kita masih mempertimbangkan mengenai penambahan aset.

"Ini kerana, kita juga perlu memberikan keutamaan kepada ekonomi negara, yang mana harus kita beri keutamaan sama ada beli kapal atau ia boleh digunakan untuk perbelanjaan lain," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Imigresen di Dataran Pahlawan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2022, Hamzah berkata, penilaian itu dibuat secara subjektif dan mengambil kira pelbagai persepsi mengenai usaha Malaysia dalam menangani pemerdagangan manusia.

Malah katanya, laporan itu juga dipengaruhi oleh tindakan seluruh penduduk seperti golongan majikan dan pekerja yang terbabit dalam persekitaran eksploitasi kerja seperti melakukan penderaan, menahan pasport, bekerja secara haram, tidak membayar gaji dan tidak menyediakan penginapan yang sesuai.

"KDN dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) komited untuk memelihara hak mangsa pemerdagangan manusia seterusnya memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terbabit secara langsung atau bersubahat dalam jenayah keji ini, untuk dibawa ke muka pengadilan berdasarkan lunas perundangan sedia ada.

"Antara tindakan strategik yang sudah diambil bagi memerangi jenayah pemerdagangan manusia di Malaysia adalah dengan membuat pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang berkuat kuasa pada 22 Februari lalu.

"Selain itu kita turut melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang Tahun 2021-2025 (NAPTIP 3.0); pemerkasaan kerjasama sedia ada melalui melalui pendekatan 'whole-of-nation' dengan pelbagai pemegang taruh di peringkat domestik dan antarabangsa serta mengukuhkan kerjasama antara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pelbagai aspek seperti pengurusan rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang di utara Semenanjung Malaysia dan Lembah Klang," katanya.

Semalam media melaporkan

Sebelum ini media melaporkan Amerika Syarikat (AS) menambah empat lagi negara iaitu Vietnam, Kemboja, Brunei dan Macau dalam 'Tier 3' bagi pemerdagangan manusia, di samping Malaysia.

Negara yang berada dalam 'Tier 3', berdepan dengan sekatan AS, namun kebiasaannya kerajaan negara itu tidak mengenakan hukuman terhadap negara mesra AS yang berjanji untuk membuat penambahbaikan.

Selain Malaysia, negara lain yang kekal dalam senarai itu adalah Afghanistan, Cuba, Eritrea, Guinea-Bissau, Iran, Myanmar, Korea Utara, Nicaragua, Russia, Sudan Selatan, Syria, Turkmenistan dan Venezuela.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 2:21 PM