DONALD Trump. FOTO Reuters
DONALD Trump. FOTO Reuters
Agensi

New York: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa mengaku tidak bersalah terhadap 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan.

Ia selepas timbalan pendakwa raya menuduh Trump membayar dua wanita untuk menyekat mereka daripada mendedahkan hubungan seksual dengan Trump.

Berdasarkan kenyataan fakta oleh pejabat Peguam Daerah Manhattan Alvin Bragg, kesemua pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan di peringkat pertama itu masing-masing membawa hukuman maksimum empat tahun penjara.

Setiap kiraan meliputi rekod individu yang berkaitan dengan pembayaran oleh Trump kepada bekas peguam peribadinya, Michael Cohen, antara Februari dan Disember 2017, tahun pertama Trump berada di Rumah Putih.

Menurut Bragg, bayaran itu bukan untuk perkhidmatan undang-undang seperti didakwa, sebaliknya untuk membayar balik Cohen yang membayar AS$130,000 (kira-kira RM571,000) kepada bintang filem lucah, Stormy Daniels untuk 'menutup mulut' semasa kempen pilihan raya 2016.

Daniels berkata, dia dan Trump mengadakan pertemuan seksual pada 2006 selepas lelaki itu berkahwin dengan Melania Knauss, isteri ketiganya.

Trump menafikan bertemu Daniels tetapi mengakui pembayaran itu.

Cohen mengaku bersalah pada 2018 atas pertuduhan persekutuan berhubung kewangan kempen yang berkaitan dengan pembayaran dan berkata, dia bertindak atas arahan Trump.

Menurut dokumen undang-undang, Trump memalsukan rekod itu ketika bekerja dengan Cohen dan yang lain untuk menutup cerita yang boleh mengancam dirinya sebagai calon presidennya pada 2016.

Trump dan Cohen membincangkan pembayaran balik dalam perbualan yang dirakam menerusi rakaman audio pada September 2016 dan membuat rancangan untuk berbuat demikian.

Pada ketika itu, Penerbit National Enquirer dan Ketua Eksekutif American Media Inc (AMI), David Pecker yang membantu Trump menepis cerita negatif sepanjang kempen pilihan raya memperkenalkan Cohen dengan seorang peguam Daniels.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan bayaran AS$130,000 tetapi Trump menggesa Cohen menangguhkan pemberian cek itu sehingga selepas pilihan raya pada November, kerana tuntutan Daniels tidak akan menjejaskan keputusan.

Mengikut pertuduhan, Cohen akhirnya mengeluarkan kredit ekuiti rumah bernilai AS$131,000 (kira-kira RM575,000) pada akhir Oktober 2016 dan membayar Daniels melalui shell company dengan mempercayai Trump akan membayarnya semula.

Selepas pilihan raya, ketua pegawai kewangan Trump, Allen Weisselberg bersetuju membayar balik Cohen dua kali ganda jumlah terhutang untuk menampung cukai yang dijangkakan serta bonus akhir tahun, kesemuanya berjumlah AS$420,000 (kira-kira RM1.84 juta).

Cohen dibayar secara ansuran bulanan sebanyak AS$35,000 (kira-kira RM153,000) sehingga 2017 yang disifatkan secara palsu sebagai bayaran perkhidmatan guaman.

Selepas pihak berkuasa persekutuan mula menyiasat Cohen pada April 2018, pejabat Bragg menuduh Trump menekannya untuk tidak bekerjasama, sama ada menerusi panggilan telefon mahupun komen awam di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 11:24 AM