David Pruitt meninggal akibat ‘primary amoebic meningoencephalitis’ (PAM). FOTO Agensi
David Pruitt meninggal akibat ‘primary amoebic meningoencephalitis’ (PAM). FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dijangkiti parasit 'pemakan otak' ketika berenang di sebuah tasik di California Utara bulan lalu.

David Pruitt dari Tehama County meninggal akibat primary amoebic meningoencephalitis (PAM) yang merosakkan otaknya pada 7 Ogos lalu.

Dia dikejarkan ke Pusat Perubatan UC Davis pada 30 Julai dan disahkan meninggal dunia pada 7 Ogos lalu, lapor 7news.com.au.

Jangkitan daripada parasit bawaan air itu sangat jarang berlaku dan hanya 10 kes dilaporkan di California sejak 1971, menurut Agensi Perkhidmatan Kesihatan Tehama County.

Laporan turut menyebut David dikatakan dijangkiti ketika berenang di tasik di Tehama County namun tidak dinyatakan di mana lokasi itu.

Ibu bapa kanak-kanak malang berkenaan menolak permintaan untuk ditemubual media namun mereka mahu masyarakat berwaspada mengenai parasit ini dan tanda-tandanya.

Parasit yang dikenali Naegleria fowleri biasanya menjangkiti manusia ketika air yang tercemar memasuki tubuh mereka melalui hidung, menurut Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).

Ia biasanya berlaku ketika seseorang berenang atau menyelam di tempat air tawar yang hangat seperti tasik dan sungai.

Mereka akan dijangkiti apabila air yang belum dirawat itu memasuki badan melalui hidung dan terus ke otak.

Pada peringkat pertama jangkitan, pesakit akan mengalami sakit kepala yang teruk, demam, mual dan muntah.

Apabila jangkitan bertambah buruk, mereka akan mengalami kekejangan leher dan sawan serta halusinasi, menurut CDC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:40 AM