BELON udara itu pancit sebelum jatuh di lautan berhampiran Carolina Selatan. FOTO Reuters.
BELON udara itu pancit sebelum jatuh di lautan berhampiran Carolina Selatan. FOTO Reuters.
AP

Washington: Tentera Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh belon udara panas China disyaki digunakan untuk mengintip di luar pantai Carolina Selatan.

Ia susulan arahan Presiden Joe Biden selepas belon itu melalui tapak sensitif tentera di Amerika Utara.

Biden mahu belon itu ditembak jatuh pada Rabu tetapi menasihatkan bahawa waktu terbaik untuk melakukannya adalah apabila ia berada di atas lautan, kata pegawai AS.

Pegawai tentera mendapati bahawa jika belon itu ditembak jatuh dari altitud 60,000 kaki (kira-kira 18,000 meter) di darat, ia akan memberikan risiko kepada penduduk.

Belon itu yang melintasi ruang udara AS minggu lalu kembali mencetuskan ketegangan antara AS dan China.

Ia menyebabkan Setiausaha Negara AS Antony Blinken segera membatalkan kunjungannya ke Beijing yang dijadualkan sebelum ini.

"Mereka berjaya menembak jatuh (belon itu) dan saya mahu memuji juruterbang kita yang melakukannya," kata Biden selepas mendarat dengan pesawat rasmi Air Force One ke Kem David.

Belon gergasi itu dilihat pada pagi Sabtu melintasi Carolina Selatan dan menghampiri pantai Lautan Atlantik.

Pesawat pejuang F-22 kemudian menembak peluru berpandu ke arah belon itu dan menyebabkan ia jatuh di luar pantai berhampiran Pantai Myrtle, Carolina Selatan, menurut pegawai kanan pertahanan.

Kehadiran belon itu di ruang udara AS menarik perhatian penduduk negara itu sepanjang minggu lalu.

Dalam pada itu, AP melaporkan serpihan belon itu jatuh di kawasan perairan sedalam 47 kaki (kira-kira 14 meter), iaitu kawasan yang lebih cetek daripada jangkaan.

Beberapa kapal kemudian melaksanakan usaha untuk mengeluarkan serpihan belon udara berkenaan yang bertaburan di kawasan seluas tujuh batu (kira-kira 11 kilometer).

Sabtu lalu, pegawai pertahanan dan tentera AS berkata, belon itu memasuki ruang pertahanan udara utara AS di Kepulauan Aleut, Alaska, pada 28 Januari sebelum bergerak melintasi daratan di Alaska.

Ia kemudian melintasi ruang udara Kanada di Wilayah Barat Lautnya, pada Isnin, sebelum memasuki semula AS menerusi utara Idaho, pada Selasa.

Belon itu kemudian dilihat di Montana, yang menempatkan Pangkalan Tentera Udara Malmstrom dan tapak itu mempunyai simpanan senjata nuklear.

China bertegas bahawa belon itu adalah untuk kaji cuaca, bukannya untuk mengintip, dan ia terbang ke AS kerana dibawa angin, namun kenyataan itu ditolak Pentagon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 8:28 AM