BANGUNAN yang dibom tentera rejim Zionis, turut kelihatan sekumpulan orang ramai di atas bangunan bersebelahan. FOTO AFP
BANGUNAN yang dibom tentera rejim Zionis, turut kelihatan sekumpulan orang ramai di atas bangunan bersebelahan. FOTO AFP
BERNAMA

New Delhi: Kerajaan Maldives pada Isnin mengutuk tindakan Israel yang mengancam mahu menggunakan bom nuklear terhadap Gaza.

"Kenyataan itu amat membimbangkan, terutama Israel sudah pun menceroboh dan membunuh orang awam yang tidak bersalah di Palestin," kata kerajaan Maldives dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Kementerian Luar Pakistan menyifatkan kenyataan itu sebagai wake up call kepada masyarakat antarabangsa bahawa Israel membahayakan keamanan dan keselamatan serantau.

"Kami terkejut dengan kenyataan seorang menteri Israel yang mengancam untuk menggunakan kuasa nuklear terhadap rakyat Palestin. Ia mencerminkan niat untuk pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkata kenyataan menteri Israel itu adalah lanjutan kepada ideologi perkauman pengganas oleh rejim berkenaan.

Kemarahan antarabangsa semakin meningkat ekoran Israel terus mengingkari gesaan supaya menghentikan pengeboman yang dilakukan sewenang-wenangnya terhadap 2.3 juta penduduk Gaza.

Penyokong utama Israel, Amerika Syarikat, Britain dan Kesatuan Eropah juga menghadapi tekanan yang semakin meningkat supaya menghentikan malapetaka kemanusiaan di Palestin.

Ramai yang membangkitkan sikap doublespeak Barat mengenai hak asasi manusia dalam sokongan mereka terhadap Israel.

Menteri Luar Sri Lanka Ali Sabry berkata: "Pakatan secara kolektif dunia kononnya bertamadun, menindas manusia paling malang di bumi...di manakah negara-negara yang mendakwa memperjuangkan hak asasi manusia.

"Keputusan terpilih dan tersirat anda tidak mengejutkan sama sekali," kata Sabry.

Israel memusnahkan sejumlah besar sekolah, masjid, kawasan kejiranan dan hospital di Gaza.

Ambulans yang membawa mangsa turut menjadi sasaran tentera udara Israel.

Ancaman nuklear oleh menteri Israel itu telah mencetuskan lebih banyak kebimbangan di Asia Barat dan kemungkinan akan menyebabkan konflik serantau yang lebih meluas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 11:31 PM