ROMAN menyamar sebagai rakan banduannya bagi meloloskan diri.  FOTO Pejabat Syerif Cowlitz.
ROMAN menyamar sebagai rakan banduannya bagi meloloskan diri. FOTO Pejabat Syerif Cowlitz.
Agensi

Seattle, Washington: Seorang banduan berjaya meloloskan diri dari pintu hadapan penjara selepas memperdaya pegawai penjara.

Pejabat syerif berkata, Brian Francisco Roman, 26, diburu selepas meloloskan diri dari penjara Cowlitz di Washington, Isnin minggu lalu.

Ketika kejadian, pegawai koreksional masuk ke sel untuk memanggil banduan yang bakal dibebaskan dan mendapati tiga lelaki termasuk Roman sedang tidur.

Menurut pihak berkuasa, apabila pegawai itu memanggil banduan itu, Roman yang pada asalnya dipenjarakan kerana mengedar dadah mendakwa sebagai banduan yang sepatutnya dibebaskan dan pergi bersama pengawal untuk diproses keluar dari tahanan.

Roman kemudiannya diberikan harta milik rakan selnya termasuk pakaian, kunci dan dompet yang mengandungi kad pengenalannya dan kad debitnya serta menandatangani kertas kerja pelepasan dengan memalsukan nama banduan lain.

Imej pengawasan menunjukkan Roman memegang beberapa borang ketika dia meninggalkan penjara dengan memakai pakaian rakan banduannya.

Pengawal penjara hanya menyedari situasi sebenar apabila rakan Roman bertanya, bila dia akan dibebaskan.

Dalam pembelaan mereka, kakitangan penjara mendakwa Roman dan rakan selnya mempunyai ciri fizikal sama.

Waran tangkap kemudiannya dikeluarkan untuk penahanan Roman, menambah tuduhan melarikan diri, penyamaran jenayah, pemalsuan dan kecurian.

Pihak berkuasa berkata, dia kali terakhir dilihat memakai hoodie biru, kemeja hitam, seluar berwarna kelabu dan selipar coklat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 12:12 PM