GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
AFP

Washington: Banduan wanita di sebuah penjara di Indiana, Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap pihak penjara selepas mendakwa seorang pengawal menjual kunci sel mereka kepada banduan lelaki yang menyerang mereka secara seksual.

Menerusi saman yang difailkan kepada Mahkamah Daerah AS, seramai 28 wanita mengatakan sel mereka di Penjara Clark County di Jeffersonville diceroboh sejurus selepas tengah malam pada 23 Oktober lalu.

Banduan wanita itu menuduh pengawal penjara, David Lowe, memberikan kunci kepada banduan lelaki terbabit dengan bayaran RM4,448.34 (USD1,000).

Mereka berkata, serangan oleh banduan lelaki memakai topeng yang diperbuat daripada tuala dan selimut itu berlangsung selama kira-kira dua jam dan pengawal penjara tidak campur tangan walaupun ada kamera pengawasan,

"Walaupun kejadian itu membabitkan beberapa tahanan lelaki dan berpuluh-puluh mangsa dalam tempoh yang panjang, tidak seorang pun pegawai penjara yang bertugas malam itu membantu plaintif dan mangsa lain," menurut tuntutan mahkamah itu.

"Kegagalan sistematik ini membolehkan ramai banduan lelaki melarikan diri dari penjara selama beberapa jam, mengakibatkan malam keganasan bagi plaintif dan mangsa lain," katanya.

Tuntutan undang-undang mendakwa banduan lelaki meraba banduan wanita, mendedahkan kemaluan mereka, dan membuat kenyataan seksual dan mengancam. Dua daripada wanita itu mendakwa mereka dirogol.

Menurut tuntutan saman itu, walaupun banduan wanita itu adalah mangsa, pegawai penjara menghukum wanita itu, membiarkan lampu menyala berterusan selama 72 jam, meletakkan mereka di 'lockdown' dan merampas barang peribadi.

Selain menamakan Lowe sebagai defendan, tindakan undang-undang itu juga menuduh Sheriff Clark County, Jamey Noel cuai kerana gagal menghalang serangan itu.

"Dia mempunyai tanggungjawab mengawasi untuk memastikan banduan dilindungi dan tidak tertakluk kepada penderaan," kata salah satu tuntutan mahkamah itu.

Lowe, pengawal penjara, memberitahu The Washington Post bahawa banduan mencuri kunci yang memberi mereka akses ke sel wanita dan dia hanya mengetahui mengenai serangan itu beberapa hari kemudian.

Dengan lebih daripada dua juta banduan di penjara, AS mempunyai populasi penjara terbesar di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 12:33 PM