AIDEN Fucci ketika ditahan pada 10 Mei 2021. FOTO Agensi
AIDEN Fucci ketika ditahan pada 10 Mei 2021. FOTO Agensi
Agensi

Tallahassee, Amerika Syarikat: Seorang remaja Florida dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh rakan sekelas dengan menikamnya sebanyak 114 kali.

Metro melaporkan, Aiden Fucci, 16, dijatuhi hukuman di Mahkamah Daerah St Johns di St Augustine, Florida, selepas hampir dua tahun didakwa atas pembunuhan kejam itu.

Hakim Lee R Brown sebelum menjatuhkan hukuman berkata, ia dilakukan secara terancang

"Ia dilakukan dengan cara terancang, malah ia tindakan yang keji dan kejam.

"Tiada sebab lain melainkan memuaskan keinginan tertuduh untuk mengetahui bagaimana rasa membunuh seseorang," katanya.

Beliau berkata, Tristyn Bailey (mangsa) sedar dan berusaha mempertahankan diri, namun mati dalam cara yang menyakitkan dan mengerikan kerana seseorang yang dipercayainya.

Atas faktor usia, Fucci tidak boleh dihukum mati dan dia hukumannya boleh disemak semula dalam tempoh 25 tahun.

Dalam kejadian pada sambutan Hari Ibu 2021, keluarga kepada Tristyn Bailey, 13, melaporkan remaja itu hilang dari rumah di Florida Utara.

Mayat Bailey ditemukan di dalam hutan berhampiran kira-kira jam 6 petang, keesokannya.

Remaja itu disahkan mati dibunuh menggunakan senjata tajam apabila terdapat 114 kesan tikaman selain 49 luka di tangan, lengan serta kepalanya.

Polis yang menjalankan siasatan mengenal pasti Aiden Fucci yang ketika itu berusia 14 tahun sebagai suspek utama kes pembunuhan mengerikan terbabit.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kedua-dua remaja terbabit berjalan bersama kira-kira 2 pagi sebelum Fucci dilihat berlari pulang seorang diri sambil memegang kasutnya.

Fucci ditahan sehari selepas mangsa dilaporkan hilang dan mengaku tidak bersalah atas pembunuhan itu, namun menukar pengakuannya dalam perbicaraan pada 6 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 12:39 PM