FOTO dari media sosial menunjukkan belon udara panas itu ketika ia melalui Billings, Montana, AS. FOTO Reuters
FOTO dari media sosial menunjukkan belon udara panas itu ketika ia melalui Billings, Montana, AS. FOTO Reuters
AP

Washington: Kemunculan belon udara panas dari China yang berlegar-legar di ruang udara Montana, Amerika Syarikat (AS) sejak kelmarin, mencetuskan kebimbangan dan pelbagai spekulasi.

Orang ramai turut meragui dakwaan Beijing tentang kemunculan belon kaji cuaca di Montana itu, berikutan kawasan berkenaan adalah pangkalan Tentera Udara Malmstrom dan penyimpanan puluhan peluru berpandu nuklear.

Belon itu mencetuskan ketegangan diplomatik ketika ia terus bergerak ke ruang udara ibu tengah AS, terbang pada ketinggian 18,288 meter, semalam.

Setiausaha Negara, Antony Blinken tiba-tiba membatalkan lawatan akan datang ke China.

Rasa ingin tahu tentang belon bersaiz tiga buah bas sekolah itu melanda seluruh negara.

Di Internet, carian seperti 'di manakah belon pengintip sekarang?' dan penjejak belon pengintip, melonjak di Google.

Setakat ini, belum ada penjejak, namun beberapa stesen TV St Louis menawarkan siaran langsung keberadaan belon itu.

Pengguna Internet menyiarkan video goyah dan foto tompok putih di bahagian komen dan memberikan pelbagai spekulasi.

Menurut pegawai, belon itu bergerak menyeberang ruang udara Alaska, awal minggu ini.

Gabenor dan Ahli Kongres turut mendesak pentadbiran Joe Biden mengapa tentera tidak segera 'menurunkan' belon itu.

Belon itu di lihat di Billings pada petang Rabu lalu, hari sama lapangan terbang tempatan ditutup buat sementara waktu.

Sehari sebelum itu, Pentagon berkata, pihaknya menjejaki 'belon pengintip' China di negeri itu.

Jabatan Cuaca Kebangsaan berkata, pihaknya menerima laporan kemunculan belon besar di kawasan metro Kansas City, Missouri dan menyiarkan dua imej bola putih yang dirakam dari pejabat stesen cuaca di Pleasant Hill.

Katanya, ia bukan belon jabatan itu.

Grafik yang dijana alat dalam talian Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan dikongsi di Facebook, menunjukkan trajektori belon itu ke selatan AS.

Dalam pada itu, BBC dalam laporan berasingan menyatakan China mendakwa belon itu adalah belon digunakan untuk kaji cuaca dan terbang ke AS disebabkan dibawa angin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 10:26 AM