BELON pengintip yang dikesan di Billings, Montana, AS, pada Februari 2023. FOTO AFP
BELON pengintip yang dikesan di Billings, Montana, AS, pada Februari 2023. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Bukti baharu program belon pengintip China termasuk penerbangan di ruang udara Jepun dan Taiwan, ditemukan oleh BBC Panorama.

Portal BBC melaporkan, Jepun mengesahkan belon pengintip yang terbang di atas wilayahnya dan bersedia untuk menembaknya pada masa hadapan.

China tidak langsung menyangkal bukti yang dikemukakan oleh BBC.

Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China tegang awal tahun ini, apabila belon pengintip China didakwa ditembak jatuh di luar pantai AS.

China mendakwa belon yang dilihat di barat laut AS pada akhir Januari adalah kapal udara awam, digunakan untuk penyelidikan saintifik seperti meteorologi dan ia adalah kejadian yang tidak disengajakan dan terpencil.

Bekas penganalisis Asia Timur untuk Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Culver memberitahu Panorama, belon itu bukan kejadian sekali sahaja, tetapi usaha berterusan sejak sekurang-kurangnya lima tahun.

Beliau berkata, belon China itu mempunyai reka bentuk khas untuk misi jarak jauh dan ada yang pernah melihatnya mengelilingi dunia.

BBC menemui pelbagai imej belon yang melintasi Asia Timur hasil kerjasama dengan Synthetaic, sebuah syarikat kecerdasan buatan yang menyaring sejumlah besar data satelit.

Pengasas syarikat itu, Corey Jaskolski, menemui bukti satu belon melintasi utara Jepun pada awal September 2021, namun ia belum pernah diterbitkan sebelum ini.

Jaskolski juga percaya bukti menunjukkan belon itu dilancarkan dari kawasan dekat selatan Mongolia, namun BBC tidak dapat mengesahkannya.

Yuko Murakami, dari Kementerian Pertahanan Jepun, memberitahu BBC bahawa kerajaan mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk memantau keadaan setiap hari bahkan sanggup menembak jatuh belon untuk melindungi nyawa dan harta benda orang di wilayah Jepun.

Jabatan Negara AS berkata, ia percaya belon China dilengkapi untuk pengumpulan data risikan.

Bagi menyiasat sama ada China melancarkan belon lain, pasukan Panorama mencari menerusi media sosial dan laporan akhbar di seluruh rantau untuk mengetahui laporan mengenai UFO.

Hasil siasatan, pasukan itu menemui dua gambar yang diambil oleh perkhidmatan cuaca Taiwan dan kelihatan belon di atas Taipei, pada akhir September 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 1:12 PM