GAMBAR yang disiarkan KCNA menunjukkan tentera Korea Utara menyambut kehadiran Kim untuk memeriksa pelancar roket baru di lokasi  yang tidak dinyatakan.
GAMBAR yang disiarkan KCNA menunjukkan tentera Korea Utara menyambut kehadiran Kim untuk memeriksa pelancar roket baru di lokasi yang tidak dinyatakan.
Agensi

Seoul: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengarahkan tenteranya bersiap sedia untuk menggunakan senjata nuklear pada bila-bila masa.

Pada masa sama, dia juga mengerahkan supaya tentera negara itu sentiasa berada dalam kedudukan untuk melancarkan serangan dalam menghadapi ancaman yang semakin meningkat daripada musuhnya.

Arahan itu yang disiarkan agensi berita rasmi Korea Utara (KCNA) menandakan peningkatan ketegangan di semenanjung Korea selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan tindakan lebih tegas terhadap Pyongyang kerana program nuklearnya.

Korea Utara yang memang terkenal kerana retorik perangnya, sebelum ini mengancam melancarkan serangan awal terhadap musuhnya, khususnya Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pakar tentera meragui keupayaan Pyongyang menembak peluru berpandu jarak jauh dengan peledak nuklear sehingga ke Amerika Syarikat.

Kim mengarahkan demikian ketika dia memantau latihan tentera membabitkan pelancar roket baru, lapor KCNA.

KCNA bagaimanapun tidak menyebut tarikh latihan itu diadakan, tetapi berkata, senjata baru itu mampu menjejaki Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 5:13 AM