DEPP (kiri) dan bekas isteri, Amber Heard di mahkamah. FOTO Agensi
DEPP (kiri) dan bekas isteri, Amber Heard di mahkamah. FOTO Agensi
PEGUAM mewakili Depp (kiri) dan  peguam mewakili  Heard di hadapan hakim perbicaraan di mahkamah Virginia, Amerika Syarikat. FOTO AFP
PEGUAM mewakili Depp (kiri) dan peguam mewakili Heard di hadapan hakim perbicaraan di mahkamah Virginia, Amerika Syarikat. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah


Minggu ini antara isu yang paling mencuri tumpuan tentunya perbicaraaan kes saman di Amerika Syarikat (AS) membabitkan bintang Hollywood, Johnny Depp dan bekas isterinya, pelakon Amber Heard.

Pada 2018, Depp memfailkan saman terhadap News Group Newspapers, syarikat yang menerbitkan akhbar The Sun di United Kingdom (UK). Ia selepas penyiaran satu artikel yang mendakwa Depp memukul isteri.

Setahun kemudian, Heard dalam artikelnya menerusi kolum op-ed di dalam akhbar Washington Post pula menyatakan menjadi mangsa keganasan seksual.

Depp kalah dalam samannya terhadap The Sun di mahkamah di UK. Dia kini mengemukakan saman fitnah terhadap bekas isterinya itu di mahkamah di AS kerana artikel yang disiarkan menerusi Washington Post.

Pelakon itu menuntut tidak kurang AS$50 juta (kira-kira RM219 juta) kerana artikel diterbitkan Washington Post. Ia biarpun Heard tidak menamakan Depp secara langsung di dalam artikel itu.

Bekas isterinya pula memfailkan tuntutan balas, membabitkan AS$100 juta (RM439 juta).

Perbicaraan inilah yang kini menjadi topik perbualan ramai. Ia tak ubah seperti sidang parlimen apabila prosiding kes ini boleh diikuti secara langsung menerusi pelbagai medium.

Prosiding kes disiarkan menerusi penstriman langsung di saluran Sky News, Law & Crime Network dan Court TV. Selain itu, ia disiarkan menerusi laman sesawang ketiga-tiga saluran berkenaan.

Hal ini memandangkan sistem kehakiman di AS yang membolehkan prosiding kes di mahkamah di peringkat tertentu, disiarkan kepada umum. Ia tertakluk kepada kebenaran hakim yang mendengar mana-mana kes.

Menurut satu laporan daripada presiden Law & Crime Network, sembilan juta penonton menyaksikan perbicaraan kes ini, setiap hari.

Pengguna tegar TikTok pastinya dapat mengikuti pelbagai klip video pendek mengenai perbicaraan kes saman ini.

Jadi apa yang menyebabkan orang ramai tertarik dengan kes ini? Pertamanya, ia membabitkan bintang Hollywood kelas A iaitu Depp. Kedua, seperti dijangka, ia akan membuka banyak 'kisah dalam kain' bekas pasangan berprofil tinggi ini.

Kali ini, penonton lebih tertarik dengan reaksi Depp dan Heard setiap kali saksi di mana-mana pihak tampil memberi keterangan. Ia apabila kamera difokuskan tepat ke muka mereka.

Di TikTok pula, penggunanya tidak melepaskan peluang untuk menghasilkan video parodi.

Apa yang pasti, penonton kini tidak lagi mengikuti kes ini untuk mengetahui siapa yang benar dan siapa yang salah. Ada juga yang sangsi mengenai pihak mana yang sebenarnya bercakap benar.

Mereka mengikuti perbicaraan kes ini tidak ubah seperti menonton program realiti. Bezanya, dalam hal ini, juri akan membuat keputusan di penghujung kes.

Jadi, dengan risiko besar ini, ramai terfikir mengapa Depp meneruskan saman terhadap bekas isterinya. Ia tidak lain tidak bukan bagi menjaga reputasinya. Sebarang label seperti pendera atau pemukul isteri akan memberi kesan kepada kerjaya Depp selaku bintang kelas A.

Ini sudah terbukti apabila Depp kehilangan potensi pendapatan AS$22.5 juta untuk filem Pirates of the Caribbean 6.


Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 6:00 AM