ELON Musk. FOTO fail AFP
ELON Musk. FOTO fail AFP
Agensi

Washington: Elon Musk memiliki dua anak bersama Shivon Zilis, eksekutif di syarikat kecerdasan buatan, Neuralink, menurut dokumen mahkamah yang didedahkan.

Lelaki terkaya di dunia itu kini memiliki sembilan cahaya mata.

Lima daripadanya, anak dengan bekas isteri, Justine, dan dua anak bersama penyanyi Claire Bouncher yang juga dikenali sebagai Grimes.

Dokumen mahkamah yang diperoleh oleh Insider dan diterbitkan pada Rabu menunjukkan Musk dan Zilis memfailkan petisyen untuk menukar nama bayi kembar mereka.

Ia untuk ditukar dengan meletakkan nama keluarga si bapa dan selain nama keluarga ibu sebagai sebahagian daripada nama tengah mereka.

Petisyen itu difailkan di Austin, Texas, tempat bayi itu dilahirkan dan diluluskan Hakim.

Zilis dilaporkan bersalin pada November, beberapa minggu sebelum Musk dan Boucher mendapat anak kedua, melalui ibu tumpang.

Zilis, 36, dilahirkan di Kanada dan penuntut jurusan ekonomi dan falsafah di Universiti Yale sebelum bekerja di IBM dan kemudian di Bloomberg Beta, sebuah dana modal teroka.

Dia dianggap sebagai bintang yang semakin menyinar dalam dunia kecerdasan buatan dan disenaraikan dalam '30 Under 30' majalah Forbes dan "35 Under 35" LinkedIn.

Menurut LinkedIn, Zilis bekerja sebagai pengarah operasi dan projek khas di Neuralink, firma neuroteknologi milik Musk.

Musk menerajui beberapa syarikat termasuk Neuralink, syarikat kereta elektrik Tesla, syarikat pengembaraan angkasa lepas SpaceX, dan firma pembinaan terowong, Syarikat Boring.

Musk sebelum ini mempromosikan peningkatan kadar kelahiran, mengatakan tamadun akan runtuh jika orang tidak mempunyai lebih banyak anak.

Dia membuat hantaran itu di Twitter susulan penurunan kadar kelahiran AS.

Pada bulan April, seorang anak perempuannya memfailkan untuk menukar nama keluarga dan dipisahkan secara sah daripada Musk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 4:16 PM