GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Washington: Budak lelaki berusia lapan tahun menembak mati seorang bayi, dan mencederakan adik perempuannya yang masih kecil ketika bermain dengan pistol bapanya di Florida, hujung minggu lalu.

Kejadian berlaku di sebuah motel di mana bapa budak itu, Roderick Randall, 45, yang mempunyai rekod jenayah, bertemu dengan teman wanitanya.

Bapanya, ditahan dan didakwa atas tuduhan cuai, memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang dan menyembunyikan bukti, kata Syerif Daerah Escambia Chip Simmons.

Ketika kejadian, dia membawa anaknya, manakala teman wanitanya membawa bersama anak kembarnya yang berusia dua tahun, dan seorang lagi anak perempuannya yang berusia setahun.

Randall keluar dan meninggalkan senjata api di dalam almari, manakala anaknya mengeluarkannya dan mula bermain dengannya, ketika ibu kanak-kanak perempuan itu sedang tidur.

"(Budak itu) menarik pistol dari sarung, mula bermain dengannya dan melepaskan tembakan ke arah kanak-kanak itu dan menyebabkannya maut.

"Peluru itu kemudiannya menembusi dan mengenai salah seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang cedera, tetapi mangsa dijangka pulih," kata polis.

Apabila Randall kembali, dia mengambil pistol itu dan bahan tidak dikenal pasti yang berkemungkinan dadah, keluar dari bilik, sebelum polis tiba.

"Setiap tahun, beratus-ratus kanak-kanak di Amerika Syarikat mendapat akses kepada senjata tidak selamat, diletakkan di dalam almari dan laci meja malam, dalam beg galas dan dompet, atau hanya ditinggalkan," menurut laporan Everytown For Gun Safety, baru-baru ini.

Organisasi itu yang menyokong peningkatan pengawalseliaan senjata api, menganggarkan bahawa 'penembakan tidak sengaja' oleh kanak-kanak bawah umur ini menyebabkan purata 350 kematian setiap tahun.

Secara umumnya, senjata api menyebabkan kira-kira 40,000 kematian setahun di Amerika Syarikat, termasuk bunuh diri, menurut laman web Arkib Keganasan Senjata Api.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 10:47 AM