FOTO HIASAN. FOTO AFP
FOTO HIASAN. FOTO AFP
Agensi

Washington: Undang-undang baharu pro-senjata di Texas, Amerika Syarikat (AS) yang berkuat kuasa pada Rabu membenarkan kebanyakan penduduknya memiliki senjata api secara sah.

CNN melaporkan, penduduk di bandar itu juga dibenarkan membawa senjata api itu secara terbuka di khalayak ramai tanpa perlu mendapatkan izin atau menjalani latihan.

Pakar berpandangan kebenaran itu akan memberi cabaran kepada pihak berkuasa dan penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi orang awam daripada keganasan senjata api.

Perundangan kontroversi itu adalah yang terbaharu dalam rangkaian rang undang-undang pro-senapang yang diluluskan oleh anggota parlimen tahun ini ketika insiden keganasan senjata api meningkat di Texas dan di seluruh negara.

Jumlah insiden tembakan di Texas, tidak termasuk bunuh diri meningkat 14 peratus tahun ini dengan kira-kira 3,200 insiden tembakan berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu yang mencatatkan kira-kira 2,800 kes, menurut data yang disusun oleh Gun Violence Archive (GVA).

Menurut data, insiden keganasan senjata api tahun ini menunjukkan peningkatan 50 peratus dalam tempoh sama pada tahun 2019, yang menyaksikan 2,100 kes tembakan.

"Di Texas, memberi keizinan (menggunakan senjata) sama sekali adalah perubahan radikal.

"Hanya dengan membiarkan hampir semua orang membawa pistol di khalayak tanpa ada pertanyaan , tiada pemeriksaan latar belakang atau latihan keselamatan adalah sangat berbahaya," kata Andrew Karwoski, pakar polisi di Everytown for Gun Safety, organisasi pencegahan keganasan senjata api terbesar di negara ini.

Aktivis konservatif sudah melobi untuk mengemukakan cadangan penggunaan tanpa izin selama bertahun-tahun, tetapi terhenti dalam tiga sesi perundangan terdahulu.

Sementara itu, Ketua Polis Dallas Eddie Garcia memberitahu, ia menyukarkan pihaknya untuk membezakan mereka yang membawa senjata dengan niat baik dan sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 11:01 AM