KESAN kemusnahan susulan serangan udara Israel di kem pelarian Bureij, Gaza.  FOTO AFP
KESAN kemusnahan susulan serangan udara Israel di kem pelarian Bureij, Gaza. FOTO AFP
Agensi

London: Palestin tidak akan sesekali melupakan 14 negara yang mengundi menentang resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Duta Palestin ke United Kingdom (UK) Husam Zomlot berkata, tindakan itu adalah tidak wajar selepas Israel membunuh beribu-ribu penduduk dan orang awam yang tidak bersalah termasuk 3,000 kanak-kanak di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

"Israel berjaya memusnahkan rumah, sekolah, gereja, masjid. Israel juga memutuskan komunikasi di Gaza. Anda tahu mengapa? Kerana mereka mahu melakukan jenayah dalam kegelapan.

"Buat 14 negara yang mengundi menentang resolusi itu, kami akan mengingati mereka. Bayangkan mereka mengundi menentang melindungi kehidupan awam. Mereka mengundi menentang undang-undang antarabangsa.

"Apa yang berlaku kepada kemanusiaan kita? Apa yang berlaku kepada nilai kita? Apa yang berlaku kepada sistem yang disengajakan yang menjanjikan peraturan yang sama untuk semua?" katanya.

Zomlot berkata sedemikian di Dataran Parlimen di sini, baru-baru ini, di mana orang ramai berhimpun sebagai solidariti dengan rakyat Palestin.

Dalam masa sama, Zomlot turut menggesa pemimpin dunia untuk menentang ketidakadilan.

"Ini adalah detik bersejarah, detik di mana kita memilih antara kegelapan atau terang, antara penggunaan kuasa yang biadab atau panduan moral undang-undang," katanya.

Resolusi di Perhimpunan Agung PBB itu, baru-baru ini, diluluskan dengan 120 undi menyokong, 14 menentang dan 45 berkecuali.

Empat belas negara yang menentang itu adalah Israel, Amerika Syarikat (AS), Austria, Croatia, Republik Czech, Fiji, Guatemala, Hungary, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru, Papua New Guinea, Paraguay dan Tonga.

Dalam pada itu, antara 45 negara berkecuali, termasuk Australia yang menyatakan usul itu tidak lengkap kerana tidak menyatakan Hamas adalah dalang serangan pada 7 Oktober lalu.

Usul di Perhimpunan Agung PBB itu, yang digubal oleh Jordan, tidak mengikat secara undang-undang tetapi memberikan impak politik kerana ia disokong oleh 120 negara, selain undian terbuka untuk semua negara ahli.

Ia berbanding Majlis Keselamatan PBB yang dianggotai 15 ahli dengan lima ahli tetap, China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan AS. Selain itu, 10 lagi bukan ahli tetap majlis itu dilantik untuk tempoh dua tahun.

Resolusi di Majlis Keselamatan PBB pula diluluskan dengan sembilan undi ahli, dan tanpa dikenakan undi veto oleh mana-mana lima negara yang menjadi ahli tetapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 10:32 AM