Polis di lokasi kejadian lelaki tembak tiga anaknya di sebuah gereja di Sacramento semalam. Foto AFP
Polis di lokasi kejadian lelaki tembak tiga anaknya di sebuah gereja di Sacramento semalam. Foto AFP
AFP

Los Angeles: Seorang bapa menembak mati tiga anaknya sendiri sebelum meledakkan pistol ke arah dirinya sendiri di sebuah gereja Amerika Syarikat (AS) semalam.

Orang kelima juga maut dalam kejadian tembakan di Sacramento, California itu, walaupun tidak jelas sama ada orang itu ada kaitan dengan apa yang dikatakan polis sebagai insiden domestik.

Ketiga-tiga kanak-kanak yang meninggal dunia itu berusia di bawah 15 tahun, kata Sarjan Rod Grassmann dari Pejabat Sherif Daerah Sacramento.

"Pada 5.07 petang ini (semalam), kami menerima panggilan bahawa terdapat tembakan di dalam gereja," kata Grassmann.

"Kami mendapati terdapat seorang lelaki dewasa, seorang bapa menembak dan membunuh tiga anaknya di bawah umur 15 tahun.

"Saya difahamkan ada orang kelima yang juga sudah meninggal dunia. Saya tidak tahu sama ada mereka ada kaitan," katanya

Polis berkata, mereka tidak lagi akan mencari orang lain yang terbabit dalam tembakan di Gereja Sacramento di kawasan Arked Arden di bandar itu.

"Ini adalah setakat apa yang saya lihat ketika ini, satu insiden berkaitan keganasan rumah tangga," kata Grassmann.

Gabenor California Gavin Newsom dalam catatan Twitter menyifatkan pembunuhan itu 'tidak masuk akal'.

"Satu lagi tindakan keganasan senjata api yang tidak masuk akal di Amerika - kali ini di halaman rumah kita. Di sebuah gereja dengan kanak-kanak di dalam," katanya.

"Benar-benar memusnahkan. Kami simpati terhadap mangsa, keluarga mereka dan komuniti mereka.

"Pembunuhan beramai-ramai yang membabitkan senjata api adalah kejadian amat menyedihkan yang sering berlaku di AS.

Undang-undang senjata api yang lemah dan desakan mengenai hak untuk memegang senjata telah berulang kali menghalang percubaan untuk mengurangkan jumlah senjata dalam edaran, walaupun kawalan yang lebih besar diutamakan oleh majoriti rakyat Amerika.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 1:46 PM