POLIS memeriksa lokasi di mana empat atau lebih mangsa ditembak secara rambang di bandar Midwestern, Chicago. Foto Agensi
POLIS memeriksa lokasi di mana empat atau lebih mangsa ditembak secara rambang di bandar Midwestern, Chicago. Foto Agensi
Agensi

Washington: Sembilan terbunuh, ramai lagi cedera dalam kejadian tembakan dipercayai dilalukan kumpulan samseng yang melepaskan tembakan ke arah orang ramai di bandar Midwestern, Chicago, kelmarin.

Menurut AFP, Ketua Peronda Polis Chicago, Fred Walter, dalam sidang media semalam berkata, bandar raya Chicago dilanda malam yang penuh keganasan seperti medan perang dengan tembakan rambang di jalan raya.

Daily Mail melaporkan sembilan terbunuh dalam kejadian itu, termasuk lima yang maut akibat 34 tembakan yang berlaku dalam masa 24 jam bermula 10 pagi Sabtu (waktu tempatan) hingga 10 pagi Ahad.

Dalam kejadian di Gresham, lapan orang berusia antara 14 hingga 35 tahun cedera.

Mangsa termuda yang maut sepanjang huru-hara itu ialah remaja perempuan berusia 17 tahun yang ditembak di muka di Lawndale, kira-kira jam 2.30 pagi ketika dia berada di tepi jalan bersama sekumpulan orang.

“Tembakan itu sudah dirancang dan ada kaitan dengan konflik antara kumpulan penjenayah. Ia tidak boleh diterima sama sekali.

“Mereka mengambil kesempatan menembak sasaran yang berada dalam kumpulan orang ramai tanpa mempedulikan siapa yang kena tembak,” katanya.

Kumpulan penyerang bersenjata itu turut menjadikan sekumpulan individu yang menghadiri majlis pengebumian sebagai sasaran dan antara mangsa yang cedera ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Chicago mencatatkan kadar pembunuhan tertinggi di Amerika, namun menurut Walter, kes tembakan menurun 30 peratus tahun ini, manakala jumlah pembunuhan turut berkurangan sebanyak 25 peratus.

“Ini bukan satu kejayaan tetapi kami akan berusaha untuk bergerak ke arah yang benar,” katanya.

Beliau juga memberitahu, 5,500 senjata api haram sudah dirampas dari jalanan sekitar bandar raya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 3:51 PM