KEADAAN di rumah Hairston pada hari kejadian. FOTO Agensi
KEADAAN di rumah Hairston pada hari kejadian. FOTO Agensi
AFP

Washington: Seorang lelaki di Ohio menembak mati anak perempuannya berusia 16 tahun selepas menyangka dia sebagai penceroboh yang memecah masuk rumah keluarga.

AFP melaporkan, kematian Janae Hairston termasuk dalam 'senarai panjang' mangsa akibat keganasan senjata api di Amerika Syarikat tahun ini.

Pada hari kejadian, ibunya menghubungi perkhidmatan kecemasan jam 4.30 pagi Rabu untuk melaporkan bahawa anak perempuannya terbaring di atas lantai garaj mereka, selepas ditembak suaminya.

Kedua-dua mereka yang panik, didengar cuba 'merayu' mangsa untuk bangun, menurut akhbar tempatan The Columbus Dispatch, yang memperoleh rakaman panggilan itu.

Pasukan kecemasan tiba beberapa minit kemudian dan membawa Hairston ke hospital tempatan, di mana dia disahkan meninggal dunia pada 5.42 pagi.

"Kami sedih dengan kehilangan tragis ini dan akan berusaha sedaya upaya untuk membantu pelajar dan keluarga menghadapinya," kata wakil Sekolah Daerah Canal Winchester melalui nota kepada ibu bapa Hairston.

Kira-kira beberapa meter daripada lokasi kejadian berlaku kejadian tembak dan mati membabitkan tiga individu berusia enam, sembilan dan 22 pada 7 Disember lalu.

Dua daripada mereka belajar di sekolah yang sama dengan Hairston.

Columbus Dispatch berkata 2021 menjadi salah satu tahun paling banyak kejadian maut dalam sejarah kes tembakan dan pembunuhan.

Sejak pandemik Covid-19, keganasan senjata api meningkat dengan mendadak di Amerika Syarikat, di mana hak senjata api menjadi isu yang hangat diperkatakan, tetapi sebahagian besarnya dilindungi oleh perlembagaan.

Menurut laman Arkib Keganasan Senjata, lebih 44,000 orang terbunuh akibat senjata api di Amerika Syarikat tahun ini, termasuk bunuh diri, di mana 1,517 daripadanya adalah di bawah umur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 4:25 PM