RUMAH yang menjadi lokasi filem  The Exorcist.
RUMAH yang menjadi lokasi filem The Exorcist.
Agensi

Baltimore: Pasangan dari Amerika Syarikat (AS) ini membeli sebuah rumah di Maryland tanpa mengetahui kediaman itu menjadi inspirasi untuk filem seram The Exorcist.

Ben Rockey-Harris dan Danielle Witt pada mulanya menganggap mereka berjaya menemukan rumah dengan tawaran menarik.

Tanpa disedari apa yang berlaku di dalam filem itu sebenarnya pernah terjadi di rumah berkenaan.

Rumah di Cottage City dengan tiga bilik itu dibeli pada harga AS$50,000 (kira-kira RM200,000), nilai yang lebih rendah daripada pasaran.

Pasangan itu sebelum ini mencari rumah mampu milik sejak akhir tahun lalu.

Selepas menyemak dalam pelbagai laman web, baru pasangan itu sedar rumah berkenaan dipercayai pernah menjadi tempat pengusiran roh jahat yang mengganggu seorang budak lelaki.

Kisah di sebalik rumah itu membabitkan seorang budak lelaki berusia 14 tahun dikatakan dirasuk iblis.

Ini berlaku pada 1949 dan seorang paderi Katolik melakukan upacara pengusiran syaitan, lapor The Washington Post.

Witt berkata, selepas mendalami sejarah rumah berkenaan, baru dia tersedar kisah itu sebenarnya akan menyebabkan nilai rumah merudum jika dijual semula.

"Selepas mengetahuinya, saya akan menonton semula filem berkenaan dan mula mendalami kisah sebenar bagi mendapatkan gambaran lebih jelas," katanya.

Bagaimanapun kini pasangan itu tidak lagi takut untuk terus tinggal di rumah berkenaan.

Seorang penuntut Universiti Georgetown menulis novel mengenai kisah itu pada 1971 sebelum ia diadaptasi menjadi filem pada 1973 dan terus menjadi antara filem popular sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 7:01 AM