BRYAN Riley. FOTO Agensi
BRYAN Riley. FOTO Agensi
AFP

Washington: Seorang veteran perang Amerika Syarikat (AS) menembak dan membunuh empat orang termasuk seorang wanita dan bayi lelaki berusia tiga bulan yang berada dalam pelukan ibunya.

Bagaimanapun, bekas penembak hendap (sniper) dikenali sebagai Bryan Riley menyerah diri kepada polis di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Riley turut mencederakan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, kata Ketua Polis Polk Kaunti Grady Judd dalam satu sidang media.

Riley, yang tidak memiliki sebarang hubungan dengan mangsa, berbalas tembakan dengan polis sebelum menyerah diri.

Judd berkata, lelaki itu juga cuba merampas pistol polis ketika dirawat di hospital akibat tertembak dirinya sendiri.

Riley adalah bekas tentera AS di Iraq dan Afghanistan kini bekerja sebagai pengawal peribadi dan pengawal keselamatan.

Teman wanitanya turut memberitahu penyiasat Riley menghidap gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD) dan kemurungan, kata Judd.

Sejak seminggu lalu kesihatan mentalnya bertambah buruk.

Menurut Judd, Riley berlegar di sebuah rumah di mana kejadian itu berlaku pada Sabtu malam.

Lelaki itu kembali ke rumah itu pada pagi Ahad dan menembak mati seorang lelaki berusia 40 tahun, ibu berusia 33 tahun dan bayinya, kata Judd.

Dia juga turut membunuh ibu mangsa berusia 62 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 1:46 PM