Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


GALERI utama pereka barang kemas Los Angeles, Sonia Boyajian bukan sekadar ruang pameran atau studio tempat bekerja semata-mata, sebaliknya ia menyamai suasana seperti sebuah kediaman.

Bangunan berkeluasan 464.5 meter persegi itu tampil dengan latar berwarna rona merah jambu lembut sebagai warna utama, turut dilengkapi ruang bersantai dan bersosial.

Menurut pemiliknya, premis itu menyertakan ruang hiburan dan dapur lengkap dengan ruang makan membolehkan dia menganjurkan keraian atau sebarang acara di situ.

Dalam merealisasikan rekaan sedemikian, Boyajian berkolaborasi bersama pengasas Studio Shamshiri, Pamela Shamshiri iaitu pereka sebuah hotel bertema popular di New Orleans, Amerika Syarikat.

Berbekalkan khidmat pereka hiasan dalaman itu, galeri berkenaan sedia dilengkapi perabot ditempah khas bersesuaian dengan konsep dan idea hasil gabungan kedua-duanya yakni pemilik mahupun pereka ruang berkenaan.

Mengenai nilai eksentrik ditonjolkan dalam rekaan baik menerusi pilihan perabot dan tatarias ruang, ia dilihat berinspirasikan karya pereka tersohor serata dunia.

Antaranya ruang pameran berbentuk empat segi tepat yang diperbuat daripada kayu lapis, pengaruh daripada artis Amerika Syarikat, Donald Judd.

Sementara itu, kombinasi warna dan bentuk perincian dinding adalah inspirasi penempatan etnik di Mexico, rumah Abiquiu pernah dihuni artis, Georgia O’ Keefe.

Begitu juga dengan tangga berpusing oleh arkitek, Robert Mallet- Steven turut memberi inspirasi kepada rekaan tangga melengkung melengkapkan lagi ruang dalaman untuk keseluruhan rupa diinginkan.

Turut ditampilkan arca berasaskan rekaan leher, anting-anting dan serpihan seramik untuk dijadikan aksesori pameran di dinding mahupun sebagai perincian pada tempat duduk serta cerobong galeri berkenaan.

Fokus juga diberikan pada ruang utama apabila satu lampu gantung dilengkapi perincian seperti yang ada pada rekaan barang kemas Boyajian.

Sementara ruang dapur pula, turut memiliki latar merah jambu yang tona hampir sama selain dilengkapi kabinet putih dan perkakas keluli tahan karat.

Meja makan kayu lapis turut bercat putih, sama dengan meja kopi yang digunakan di ruang runcit dihasilkan Studio Shamshiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 1:40 PM