Stesen kereta api Mt Eden Avenue. FOTO AFP
Stesen kereta api Mt Eden Avenue. FOTO AFP
AFP

New York: Seorang maut, manakala lima lagi mangsa cedera dalam kejadian tembakan di stesen kereta api di New York, sebelum waktu puncak pada petang Isnin.

Pihak berkuasa dimaklumkan kejadian kira-kira 4.30 petang dan enam mangsa kejadian tembakan itu segera dibawa ke hospital, kata jabatan bomba.

"Kami percaya ini bukanlah tembakan rambang. Sebaliknya dipercayai tembakan berpunca daripada pertikaian antara dua kumpulan yang bermula di dalam kereta api.

"Malangnya seorang daripada mangsa iaitu lelaki berusia 34 tahun, disahkan meninggal dunia di hospital," kata ketua transit polis bandar, Michael Kemper.

Seorang wartawan AFP melihat, terdapat tindak balas kecemasan besar-besaran di stesen kereta api Mt Eden Avenue yang bertingkat di wilayah utara Bronx itu, yang lokasinya terletak kira-kira 14 kilometer di utara Times Square, Manhattan.

Detektif polis dan ejen dari Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Letupan (ATF) Persekutuan berada di tempat kejadian menjalankan kerja forensik termasuk pencarian cap jari susulan insiden tembakan itu.

Tembakan besar-besaran adalah perkara biasa di Amerika Syarikat (AS), di mana kira-kira satu pertiga daripada orang dewasa memiliki senjata api.

Tinjauan menunjukkan majoriti rakyat AS memihak kepada peraturan senjata yang lebih ketat.

Namun, pelobi untuk pemilikan senjata api dan pengundi yang digerakkan menyokong budaya hak senjata yang kuat di negara itu sudah berulang kali menghalang penggubal undang-undang daripada mengambil tindakan.

New York mempunyai kadar pembunuhan yang lebih rendah daripada kebanyakan bandar utama AS, dan pemilikan senjata api di khalayak ramai adalah tidak dibenarkan bagi orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 10:50 AM